Perak Hari Ini

Cadangan Pembangkang Letak Calon Orang Asli di DUN Ayer Kuning Dialu-alukan

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini mengalu-alukan cadangan pembangkang mahu meletakkan calon di kalangan Orang Asli untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Baginya, masyarakat Orang Asli yang menjadi sebahagian pengundi di kawasan terbabit boleh memilih calon yang terbaik untuk mewakili mereka.

“Saya tiada masalah dengan perkara itu. Ia adalah hak demokrasi untuk meletakkan mana-mana calon,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Silaturrahim Masyarakat Orang Asli Tapah bersama Pemimpin di Lata Kinjang, dekat Tapah, hari ini.

Melihatkan pembangunan yang semakin dikecapi masyarakat Orang Asli, Zambry percaya mereka akan terus bersama-sama kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Berdasarkan kepada perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat, saya yakin BN terus mengekalkan kerusi Parlimen Tapah termasuklah kedua-dua kerusi DUN iaitu Ayer Kuning dan Chenderiang,” tambahnya.

Beliau mengulas hasrat pembangkang ingin meletakkan calon dari kalangan Orang Asli bagi mewakili parti tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Zambry berkata, beliau yakin masyarakat pribumi itu sudah pandai membuat penilaian dalam memilih calon untuk diundi.

“Kita tahu mereka sudah bijak membuat penilaian mengenai siapakah yang benar-benar jujur untuk membantu dan membela nasib Orang Asli,” tambahnya lagi.

Tegasnya, masyarakat itu juga semakin memahami taktik pembangkang yang hanya pandai bermain kata-kata untuk memegang jawatan sebagai wakil rakyat di dewan undangan tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");