Sukan Hari Ini

Derita di Anfield bakal berakhir

BRENDAN Rodgers (tengah) berbalah dengan pengurus Stoke City, Tony Pulis ketika pertembungan kedua-dua pasukan dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield, kelmarin. - REUTERS

LIVERPOOL – Brendan Rodgers menegaskan Liverpool tetap akan menamatkan penderitaan mereka selagi penyokong kelab itu tidak berpaling daripada memberikan sokongan kepada bos Reds dan pasukan.

Rodgers terpaksa menunggu lagi untuk kemenangan pertama di tempat sendiri dalam Liga Perdana setelah empat kali mencuba sejak menjadi pengendali Liverpool akhir musim lepas.

Reds belum melakar kemenangan di depan penyokong sendiri setelah enam perlawanan dalam semua pertandingan selepas seri tanpa jaringan dengan Stoke, kelmarin.

Dalam perlawanan tersebut, tiga percubaan tuan rumah terkena palang gol dan Liverpool tetap gagal membolosi pertahanan Stoke.

Keputusan itu menyebabkan skuad Rodgers kekal pada tangga ke-14 liga, dengan hanya satu kemenangan daripada tujuh perlawanan liga.

Liverpool, yang hanya melakar kemenangan di padang sendiri dalam Liga Europa menentang kelab Belarus, Gomel dan tercicir lapan mata daripada kedudukan empat pasukan teratas.

Lebih membimbangkan pengurus mereka, kelab itu hanya tiga mata daripada zon penyingkiran.

Setakat ini penyokong Liverpool masih setia di belakang Rodgers dan para pemainnya, meskipun mereka terpaksa bergelut memburu kemenangan di tempat sendiri.

Bekas pengurus Swansea itu percaya sokongan yang diberikan akan membantu pasukannya menamatkan penderitaan yang mereka tanggung.

“Kelab ini hanya memenangi dua perlawanan Liga Perdana di Anfield dalam kalendar tahun ini (musim lalu).

“Hampir setahun sejak kelab memenangi perlawanan Liga Perdana berturut-turut, sokongan padu masih diberi biarpun dengan lakaran rekod sedemikian, tidak banyak pasukan mampu melakukan.

“Para pemain telah memberikan segala-gala untuk kelab hari ini (kelmarin) dan jasa mereka wajar dihargai oleh para penyokong.

“Banyak perkara positif sebenarnya kerana kami berjaya buat pertama kali mencatat rekod tanpa bolos musim ini, itu yang penting,” kata Rodgers.

Rodgers mengakui kecewa dengan keputusan kelmarin tetapi memuji para pemain yang berjaya mengharungi permainan fizikal yang diamalkan Stoke. – AFP

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");