
JERTIH – Hasrat seorang lelaki untuk menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama seorang anak lelakinya yang kurang upaya (OKU) tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dalam stor tepi kedai seramik di Seberang Jertih, di sini, semalam.
Rosnan Jaafar, 51, ditemui mati seorang pemilik kedai seramik dan jubin di tepi kedai tersebut ketika hendak membuka premisnya pada jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dalam sebuah stor terbiar yang berdindingkan zink.
Menurutnya, sebelum itu pada jam 7.50 pagi, anak lelaki si mati membuat laporan polis di Balai Polis Jertih mengenai kehila-ngan bapanya sejak malam kelmarin.
“Lelaki itu tidak pulang setelah keluar dari rumah jam 9 malam kelmarin dengan menunggang motosikal. Dia keluar bersama seorang anak lelakinya berusia 21 tahun untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di sebuah kedai berhampiran kampungnya di Kampung Lak Lok Dalam,” katanya.
Kamaruddin berkata, si mati dikatakan meninggalkan anak lelaki di kedai itu sementara dia menaiki motosikal untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Seberang Jertih.
Menurutnya, bagaimanapun, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat kuari batu di sempadan Bukit Yong, Pasir Putih itu tidak pulang selepas itu sehingga mayatnya ditemui semalam.
Mayat mangsa yang lengkap berpakaian baju Melayu dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan mendapati tiada unsur jenayah.
Mangsa mati akibat masalah sesak nafas.
“Motosikal mangsa dijumpai di premis tempat kejadian manakala dompet dan kunci motosikal dijumpai dalam bakul motosikal.
“Ahli keluarganya memberitahu si mati baru beberapa hari keluar dari wad Hospital Besut kerana mendapat rawatan penyakit asma dan darah tinggi,” katanya.
– SINAR HARIAN