Jenayah

Diumpil sebelum lesap

Syed Mohamad menunjukkan keadaan lubang yang terpaksa ditutup dengan bongkah kayu bagi menjamin keselamatan orang awam.

KUANTAN – “Mula-mula penutup besi longkang ini diumpil sedikit demi sedikit, selang dua atau tiga hari, penutup ini sudah lesap,” kata Syed Mohamad Syed Abdul Rahman, 62, salah seorang peniaga di premis Jalan Tun Ismail,4 di sini.

Menurutnya, kegiatan mencuri penutup besi ini berlanjutan sejak April yang lalu apabila ia dicungkil terlebih dahulu sebelum hilang.

“Apabila malam, keadaan di sini sunyi berbanding tempat lain di bandar ini. Mungkin disebabkan faktor ini, pencuri besi ligat menjalankan kegiatan mereka seolah-olah telah dirancang terlebih dahulu.

“Di kaki lima premis perniagaan kami ini, sudah lima penutup longkang hilang, manakala yang sedia ada hanya menunggu masa sahaja.

“Tiada apa yang dapat kami lakukan di sini selain meletakkan bongkah kayu sebagai amaran kepada orang awam yang lalu lalang di sini,” katanya.

Selain itu, keadaan lubang di kaki lima ini juga menyebabkan risiko untuk terjatuh adalah besar kepada orang tua dan kanak-kanak yang datang ke sini.

Syed Mohamad berkata, kawasan ini akan menjadi tumpuan orang ramai pada waktu siang dan sunyi pada waktu malam setelah premis dan kedai ditutup.

“Saya harap kepada pihak berkuasa agar memandang serius masalah ini dengan mengesan di pelaku yang tidak bertanggungjawab ini serta mengenakan denda yang sesuai.

“Ini adalah kerana, jika keadaan ini berlanjutan kawasan sekeliling akan menjadi tidak selamat selain turut menjejaskan imej Bandar Kuantan ini,” katanya.

Sehubungan itu juga, beliau berharap agar rondaan berkala pihak polis diteruskan dari semasa ke semasa sebagai amaran agar tiada kes kecurian ini berlaku lagi.

“Berapalah harga penutup longkang ini jika dibandingkan dengan keselamatan orang awam.

“Jika tidak bernasib baik, mungkin si pelaku yang akan terjatuh ke dalam lubang ini ketika sedang melakukan ‘kerja’ tersebut,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");