Peserta rancangan FELCRA diingatkan supaya tidak menjual tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri sebaliknya melihat pemberian itu sebagai amanah untuk diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, para penerima seharusnya tidak lupa akan penat lelah serta penantian lebih 30 tahun untuk mendapat status hak milik kekal bagi tanah terbabit.
“Jangan jual tanah ini kerana kerajaan negeri menganugerahkannya kerana menghargai usaha mereka (peserta) dan dan kita mahu mereka terus mengusahakannya untuk dapat pulangan,” katanya.
Zambry berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Ladang peserta FELCRA Seberang Perak di Dewan FELCRA Kampung Gajah, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi FELCRA, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Menurut beliau, penerima tanah sewajarnya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pihak pembeli yang menawarkan harga lumayan kepada pemilik tanah untuk menjual tanah mereka.
“Ia akan memberi imej yang tidak baik kepada masa depan mereka dan saya fikir banyak cara lain boleh dilakukan sekiranya mereka mempunyai masalah daripada mengambil jalan mudah dengan menjual tanah itu,” jelas Zambry.
Tambahnya, jika tanah seluas 10 ekar itu diusahakan, beliau percaya ia pasti akan mendatangkan pulangan yang lumayan.
“Bayangkan jika tanah itu diusahakan, mereka boleh dapat RM5,000 sebulan dan pendapatan yang diperoleh ini tergolong dalam kategori yang berpendapatan sederhana,” ujarnya.
Terdahulu, Zambry menyampaikan geran kepada 1,305 peserta rancangan FELCRA Seberang Perak.
Dari jumlah terbabit, seramai 570 peserta menerima geran milikan tanah untuk kelapa sawit dan padi manakala 200 peserta untuk tanaman padi yang melibatkan tanah seluas enam ekar bagi setiap individu.