Perak Aman Jaya

IDR Kemuka Resolusi Tambahbaik Aspek Pembangunan Dan Ekonomi Negeri

Bagi meningkatkan mutu pentadbiran kerajaan negeri, Institut Darul Ridzuan (IDR) akan mengemukakan beberapa resolusi bagi tujuan penambahbaikan khususnya dalam aspek pembangunan dan ekonomi dalam masa terdekat ini.

Eksekutif Kanan IDR, Azeera Ariffin berkata, resolusi itu merangkumi keperluan kerajaan negeri mewujudkan sistem pentadbiran baru yang lebih segar.

“Kita merangka cadangan kepada kerajaan negeri yang merangkumi bidang ekonomi, perindustrian, infrastruktur, dan rangka program untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU),” kata beliau.

Menurut Azeera lagi, isu berkaitan masyarakat sivil penting bagi IDR kerana pergerakan masyarakat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Perak.

“Sebahagian daripada draf resolusi telah dihantar kepada kerajaan negeri dan bakinya akan dihantar dalam masa terdekat.

“Terpulanglah kepada kerajaan negeri sama ada setuju ataupun tidak dengan mekanisme yang kita cadangkan itu,” jelasnya.

Azeera berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas mengenai hala tuju IDR sejajar dengan Bajet 2013 di Ipoh, hari ini.

Resolusi tersebut dicapai hasil perbincangan bersama 45 anggota yang mewakili keseluruhan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) negeri itu melalui persidangan Majlis Masyarakat Sivil Amanjaya (MMSA), pada 30 September lalu.

Persidangan yang diadakan dua kali setahun, anjuran IDR merupakan usaha mencari idea, pandangan serta cadangan daripada CSO dan NGO bagi mengisi jurang dalam mengurus tadbir kerajaan negeri dan mempromosikan dasar yang tidak dapat dipenuhi dan disokong oleh strategi kerajaan.

“Dengan penglibatan NGO dan institusi-institusi lain, ia dapat menyokong pembangunan dan pergerakan masyarakat sivil yang dinamik di Perak,” ujar beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");