Perak Hari Ini

Jambatan Kg Bharu-Kg Teluk Jadi Pemangkin Pembangunan Kawasan Sekitar

Projek Jambatan Kampung Bharu-Kampung Teluk yang tertangguh sejak sekian lama akhirnya dapat dilaksanakan dengan sokongan daripada kerajaan Pusat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata jambatan sepanjang 420 meter yang merentasi Sungai Ayer Tawar itu akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Bharu, Kampung Teluk dan Kampung Telaga Nenas.

Projek itu juga katanya, mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat di kawasan berkenaan selain menjimatkan masa perjalanan terutamanya murid-murid dari Kampung Teluk yang bersekolah di SK Kg  Bharu.

Jarak perjalanan dari Kampung Bharu ke Kampung Teluk yang dahulunya kira-kira sejauh 30 km akan dapat dipendekkan kepada 5 km sahaja apabila jambatan itu siap kelak.

“Surat pertama dihantar kepada Jabatan Kerja Raya untuk permohonan pada 26 September 2000 dan ia telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-8 dan RMK-9 tetapi gagal dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu.

“Perkara ini turut dibawa ke peringkat Mesyuarat Tindakan Daerah kerana ia merupakan satu mercu tanda pembangunan bagi ketiga-tiga kampung berkenaan.

“Selain itu, ia juga dapat memanfaatkan rakyat di kawasan Sungai Wangi, Lumut, Sitiawan, Changkat Kruing, Kampung Tun Sambathan dan Pantai Remis,” katanya berucap pada majlis pecah tanah projek itu, pagi tadi.

Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut, berkata penduduk Kampung Telaga Nenas dan Kampung Teluk terus mendesak agar projek itu dibina dengan segera.

“Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri pada Mac lalu dan akhirnya projek ini dipersetujui yang mana Jabatan Kerja Raya (JKR) dilantik sebagai agensi pelaksana.

“Projek ini bukan sahaja memendekkan masa perjalanan tetapi juga membangunkan sebuah kampung menjadi pekan kerana wujudnya pembangunan dan perkembangan aktiviti ekonomi yang pesat,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");