Membawang Hari Ini

Kat Hassan kembali dengan semangat baru

Sepi tidak bermakna hilang, selepas enam tahun tidak muncul dalam industri hiburan tempatan, pemilik nama, Siti Khadijah Hassan atau lebih terkenal dengan Kat Hassan akhirnya muncul mempertaruhkan album pertamanya, Menggoda.

Tempoh kehilangannya bukan bererti penyanyi yang lahir melalui program realiti Mentor ini terus berhenti dalam karier nyanyian. Dia mengakui dirinya masih lagi bertapak dalam industri, cuma tawaran nyanyian di majlis-majlis korporat, kurang mendapat perhatian media.

Bagaimanapun, sebagai seorang yang terlalu mencintai bakatnya dalam bidang nyanyian, Kat optimis meneruskan perjalanan kariernya dengan menghasilkan album pertama.

Ternyata buah tangan baru Kat yang telah dilancarkan sejak Mei lalu begitu bermakna buat dirinya sepanjang melibatkan diri dalam industri hiburan tempatan.

“Walaupun enam tahun ialah suatu tempoh yang panjang, namun saya rasa ia berbaloi kerana saya benar-benar bekerja keras untuk menghasilkan album ini.

“Sepanjang melibatkan diri dalam bidang nyanyian, terlalu banyak pengajaran yang saya terima.

“Saya akui, walaupun agak perit untuk melaluinya, namun atas dasar minat, saya terus berusaha memperjuangkan impian dalam industri ini,” katanya.

Tambahnya, sejak album pertama dilancarkan, sambutan yang diterima sehingga ke hari ini tidak menghampakan, malah dia juga tidak menjangkakannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur, usaha keras menghasilkan album pertama ini akhirnya mendapat sambutan. Saya gembira dengan sokongan peminat yang menghargai bakat saya.

“Saya akui respons itu beri banyak semangat untuk saya terus memperjuangkan bakat dan kebolehan saya dalam bidang ini. Selagi termampu saya mahu lakukan yang terbaik,” katanya.

Konsert amal

Sebagai kesinambungan daripada penerbitan album pertama, Kat bersama syarikatnya, Kath Entertainment bakal menganjurkan sebuah konsert amal yang akan diadakan di The Venue, Pavilion, pada 31 Oktober ini.

Menurutnya, ini merupakan konsert pertama buat dirinya dan Kat mengatakan perancangan menganjurkan konsert tersebut telah dilakukan sejak awal album pertamanya dikeluarkan.

“Buat masa sekarang, saya sibuk dengan pelbagai persiapan konsert amal ini. Konsert ini begitu bermakna buat saya kerana ia melibatkan pelbagai pihak, dan konsert ini juga dianjurkan bagi mengisi dana untuk disalurkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

“Apa yang menariknya tentang album ini adalah segala keuntungan daripada penjualan tiket, album dan rakaman konsert akan disalurkan kepada persatuan itu.

“Konsert ini saya anggap sebagai satu titik permulaan buat saya untuk menganjurkan konsert yang lebih besar yang telah kami rancang pada Mac 2013 nanti,” katanya.

Berasal daripada keluarga yang susah dan memahami situasi mereka yang memerlukan adalah menjadi faktor utama adik ipar kepada penyanyi rock, Amy Search ini terpanggil melakukan konsert amal tersebut.

“Sebagai seorang yang pernah menjalani hidup yang susah, saya amat memahami situasi mereka yang memerlukan. Setakat yang mampu, saya mahu menolong mereka.

“Saya memilih PBSM kerana mereka adalah antara badan persatuan yang mampu menyalurkan bantuan kepada golongan susah yang dilanda pelbagai musibah seperti mangsa Tsunami, dan fakir miskin dan banyak lagi,” ujarnya.

Punya artis baru

Walaupun nyanyiannya boleh dikatakan masih lagi hijau, penyanyi berusia 25 tahun ini mula mengembangkan syarikat, Kath Entertainment dengan memiliki seorang bakat baru naungannya, Deanna Sofea.

Menurutnya, kelebihan Deanna dalam seni muzik buat dirinya tertarik untuk melamar gadis itu bernaung di bawah syarikatnya.

“Saya kenal dia menerusi kelas vokal bersama Cikgu Shafi. Dari sana saya dapat melihat Deanna seorang yang lembut, manja dan seorang yang tidak hipokrit, malah mempunyai vokal yang sedap.

“Walaupun masih berusia 19 tahun, saya nampak potensinya untuk pergi lebih jauh.

“Sebagai permulaan, dalam konsert amal nanti, Deanna turut beraksi membuat persembahan bersama saya,” katanya yang bercadang mengadakan konsert di Genting Highlands pada bulan Mac depan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");