Sukan Hari Ini

Kenapa Safee Sali masih dalam ISL?

KUALA LUMPUR – Isu mengenai Safee Sali nampaknya kelihatan masih belum reda biarpun bintang bola sepak negara itu sudah mendapat lampu hijau membantu Harimau Malaya di kejohanan Piala AFF Suzuki, bulan depan.

Pelbagai spekulasi terus tercetus dan tidak kurang mempersoalkan mengapa Safee masih terus berhasrat bermain di Liga Super Indonesia (ISL) biar pun menyedari berdepan tindakan risiko Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) berkemungkinan digantung jika gagal menyelesaikan kemelut dalaman sebelum 10 Disember ini.

Memperjelaskan isu ini, pengurus peribadi Safee Sali, Zakaria Rahim tampil menyatakan bukan satu kerja mudah membawa penyerang Pelita Jaya itu keluar menyertai liga negara lain sambil melihat kepentingan kepada skuad kebangsaan juga perlu diambil kira.

Malah, Zakaria juga mendedahkan memang pada mulanya dia berminat membawa Safee beraksi di Liga Australia bersama Brisbane Roar, namun hasrat itu terpaksa ditunda kerana memikirkan banyak masalah boleh timbul pada masa akan datang.

”Memang kami ada usahakan sebelum ini membawa Safee ke Brisbane (Roar) tetapi apabila difikirkan kembali, adakah kelab barunya itu akan memahami persiapan skuad negara menghadapi Piala AFF memandangkan Australia tidak mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan liga di sana sedang berlangsung.

”Kita boleh lihat pihak FAM telah mengaturkan beberapa perlawanan persahabatan menjelang Piala AFF dan sekiranya sekarang dia bermain bersama di sana (Australia), adakah dia mudah mendapatkan pelepasan seperti mana dia nikmati sekarang?

”Itu salah satu kebaikan mengapa Safee beraksi di Indonesia kerana dia boleh dilepaskan jika mendapat panggilan skuad kebangsaan selain faktor jarak yang dekat untuk pulang,” katanya yang hadir ke pejabat Utusan Malaysia memberikan perkembangan terkini Safee bersama Pelita Jaya.

Pada masa yang sama, dia memberitahu Safee pernah mendapat tawaran lima kelab di Jerman namun terpaksa ditolak kerana mendapat kecederaan lutut selepas menyertai latihan selama dua minggu bersama Cardiff City.

Selain itu, Zakaria juga memberitahu rahsia Safee kembali menemui sentuhan bersama Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Hong Kong baru-baru ini selepas hampir setahun gagal menjaringkan sebarang gol.

”Dia mempunyai masa yang banyak berlatih dengan skuad kebangsaan semasa ISL masih berehat dan itu punca utama prestasinya kembali meningkat semenjak akhir-akhir ini.

”Jika tidak, sebelum ini dia tidak mempunyai rehat yang mencukupi dan berkesempatan berlatih selama dua ke tiga hari sahaja, situasi itu amat meletihkan Safee,” ujarnya.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");