Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan Perak sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuklah pihak pembangkang dalam usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat negeri itu.
Katanya, soal pendidikan dan kemudahan rumah yang menjadi keperluan asas tidak seharusnya dipolitikkan semata-mata untuk mendapat sokongan rakyat.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri dalam usaha membasmi kemiskinan dengan menyediakan pendidikan dan rumah tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa.
“Sehubungan itu, kita amat mengalu-alukan maklumbalas daripada semua pihak termasuklah parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit.
“Ini bukan soal siapa yang nak jadi juara rakyat walaupun kita semua sedia maklum ada pihak tertentu yang telah mempolitikkan kedua-dua isu ini dengan membuat demonstrasi di sana-sini,” katanya pada Program Selamat Pagi Dr Zambry di PerakFM, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerajaan negeri mengakui masih ada masalah yang tidak dapat diselesaikan tetapi tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan langsung tidak memberi perhatian dalam isu berkenaan adalah tidak berasas sama sekali.
Sebagai contoh, banyak masalah setinggan di Perak katanya, berjaya diselesaikan hasil maklumbalas yang diterima daripada rakyat.
“Apabila turun padang, ada rakyat yang berjumpa saya dengan bantuan pihak pembangkang membawa isu serius di kawasan mereka dan kita layan mereka ini dengan baik.
“Kita tidak membeza-bezakan orang ini sokong pembangkang atau kerajaan kerana kita mengamalkan dasar membasmi kemiskinan itu merentasi batasan politik, agama dan kaum,” tegasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar turut menegaskan kerajaan Perak menyediakan beberapa skim untuk membantu rakyatnya memiliki rumah sendiri.
Melalui agensi kerajaan negeri seperti Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), bantuan baikpulih dan membina rumah baru disediakan kepada golongan miskin dan miskin tegar, katanya.
Setakat ini, RM13 juta katanya, telah disalurkan bagi menjayakan program berkenaan dan sehingga Mei lalu, sebanyak 281 buah rumah baru telah dibina oleh YBUDR.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) yang dilancarkan baru-baru ini bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan memiliki rumah sendiri, katanya.
“Melalui Bahagian Perumahan Awam negeri pula, kita membina rumah untuk penghuni yang tinggal di kawasan bandar dan luar contohnya di flat Waller Court dan Buntong serta projek penempatan rumah tersusun (PPRT) Parit Hj Wahab, dekat Parit Buntar.
“Kita juga bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan menyediakan kawasan yang luas supaya agensi itu dapat melaksanakan projek membina rumah di kawasan-kawasan tertentu.
“Perbincangan turut dijalankan sejak lebih setahun lalu bagi menjayakan skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang bertujuan membina rumah kos sederhana bagi faedah rakyat yang berpendapatan lebih RM3,000 sebulan,” tegasnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, sebelum melaksanakan sesuatu skim perumahan, kerajaan negeri akan mengkaji dahulu kedudukan masyarakat yang berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi.
Perbincangan dengan pihak pemaju turut diadakan bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyediakan perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Perbincangan ini diadakan kerana kita juga mengambil kira permintaan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah.
“Kita tidak mahu menyediakan kemudahan perumahan kos tinggi semata-mata kerana ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada negeri Perak,” katanya lagi.