Perak bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi masyarakat pribumi Orang Asli yang terletak di Kampung Bawong, dekat Sungai Siput.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, peruntukan berjumlah RM58 juta daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) itu bakal memberi manfaat kepada 4,309 penduduk dan dibangunkan tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2017.
“Pembinaan mini RTC itu bertujuaan membangunkan kawasan Orang Asli di seluruh negara,” katanya.
Dr Zambry ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya, hari ini.
Menurut beliau, pembinaan mini RTC bagi masyarakat Orang Asli itu juga akan memainkan peranan sebagai pusat integrasi perkhidmatan yang mencakupi projek ekonomi pertanian, pusat pentadbiran, terminal pengangkutan, kilang industri serta pusat pertanian berasaskan tanaman koko dan pisang.
Selain itu, sebuah sekolah menengah juga bakal didirikan selain kemudahan sosial yang lain termasuklah mewujudkan pusat kajian berkaitan hasil herba yang sememangnya menjadi kepakaran masyarakat itu yang diwarisi secara turun-temurun.
“Kerajaan telah mengenalpasti tapak untuk dibangunkan sebagai sebuah pusat pembangunan serta transformasi bagi masyarakat Orang Asli,” katanya.
Projek pembangunan tersebut juga tegasnya, melibatkan pembinaan laluan jalan raya antara kampung Orang Asli bagi menghubungkan mereka antara satu sama lain.
Selain Simpang Pulai, mini RTC itu juga akan dibangunkan di beberapa penempatan Orang Asli seperti di Daerah Batang Padang dan Hulu Perak.