Laporan Eksklusif

Niat KP1M Adalah Membantu Sesama Umat : Mengapa Perlu Dipertikaikan

Niat murni Kelab Putra 1 Malaysia (KP1M) dalam membantu mangsa perang Syria yang melarikan diri ke Jordan rupa-rupanya telah disalahertikan oleh sesetengah pihak.

Persoalan mengenai siapakah sebenarnya pelarian Syria itu tidak penting kerana misi itu dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan dalam membantu sesama umat Islam yang mengalami kesusahan.

Konflik yang berlaku di Syria tidak kiralah siapa yang mencetuskannya iaitu sama ada golongan pemberontak mahupun kerajaan negara itu, ternyata telah mengakibatkan rakyatnya menanggung derita hari demi hari.

Justeru, kehadiran KP1M di bumi Jordan adalah untuk mengurangkan kesengsaraan hampir 37, 000 rakyat Syria yang kebanyakannya adalah di kalangan umat Islam.

Ketika mengulas mengenai kutukan demi kutukan ke atas Misi Bantuan Kemanusiaan Pelarian Syria, Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz, berkata pihak-pihak tersebut perlu faham niat sebenar kedatangan KP1M ke negara itu.

“Kita perlu faham apa tujuan misi ini dilakukan dan apa tujuan KP1M datang ke negara Jordan ini.

“Misi ini adalah misi kemanusiaan sejagat dan apabila kita bercakap tentang kemanusiaan sejagat, ia bermaksud sekiranya ada di antara masyarakat atau manusia yang memerlukan bantuan, maka kita tolong tanpa kira siapa pun mereka itu,” katanya.

Abdul Malek menambah, ketika ini, rakyat Syria yang melarikan diri ke Jordan sangat memerlukan bantuan kerajaan Malaysia untuk meneruskan kehidupan.

Justeru katanya, sebagai kerajaan yang prihatin serta kelompok masyarakat yang berhati perut, maka KP1M mengambil inisiatif melaksanakan misi itu.

“Seperti yang saya katakan KP1M sedang melaksanakan misi kemanusiaan dan apabila kita bercakap tentang kemanusiaan ia mempunyai satu nilai sejagat.

“Jadi di sini pelarian Syria amat memerlukan bantuan daripada kita dan saya begitu bangga kerana Malaysia telah mendahului negara-negara lain untuk memulakan misi bantuan kepada pelarian Syria yang begitu mengharapkan bantuan,” katanya.

Menurut beliau lagi, inisiatif yang dilakukan oleh KP1M sebenarnya amat murni malah ia juga telah menaikkan imej Malaysia di bumi Jordan.

“KP1M datang untuk bantu rakyat yang memerlukan dan ia meningkatkan imej Malaysia kerana kita mempunyai peranan sebagai satu masyarakat antarabangsa.

“Ini akan menaikkan nama Malaysia di bumi Jordan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");