KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata Pakatan Rakyat (PR) tidak layak memerintah negara ini kerana mereka tidak mempunyai kata sepakat dalam pelbagai isu.
Beliau berkata ketiga-tiga parti komponen PR, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS sering berbalah dalam pelbagai isu kecil dan besar.
“Mereka tidak boleh bersetuju atas satu simbol, satu bendera satu kabinet bayangan dan siapa akan jadi Perdana Menteri mereka sekiranya mereka berjaya merampas Putrajaya.
“Presiden DAP, Karpal Singh kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng boleh jadi Perdana Menteri. PKR kata Datuk Seri Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri mereka. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kata Anwar bukan satu-satunya calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung MCA ke-59 di Wisma MCA pada Ahad.
Dr Chua berkata PR berpegang kepada falsafah perebutan kuasa dan huru-hara dahulu akhirnya rakyat yang tidak berdosa akan menjadi mangsa.
“Justeru, rakyat perlu membuka mata kepada apa yang dilakukan oleh mereka (PR),” katanya.
Beliau berkata, MCA akan bekerjasama rapat dengan semua parti komponen Barisan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13.
Jelasnya, rakyat Malaysia perlu memilih sama ada BN yang menjanjikan kualitik hidup yang lebih baik untuk semua atau memilih PR yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
“Memilih PR bermakna yang pasti mereka akan berhadapan dengan polisi yang memecah belah, mengelirukan dan sebuah negara yang bankrap kerana dasar populis yang dijanjikan oleh mereka bagi mendapatkan undi rakyat,” katanya.
Menurutnya, tema utama MCA pada kali ini, Kestabilan Diutamakan dan Huru Hara Diketepikan’ telah mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat.
“Tema ini merupakan peringatan kepada rakyat bahawa kepentingan memastikan perkembangan ekonomi, kestabilan sosial, keharmonian dan keamanan, berbanding agenda PR yang sengaja mencipta huru hara bagi merampas kuasa,” katanya.
-mStar Online