Perak Hari Ini

Pemimpin Pembangkang Guna Politik Murahan, Hasut Setinggan Benci Kerajaan

Sejak kebelakangan ini, pemimpin pembangkang dilihat semakin terdesak dan kehabisan modal hingga sanggup menggunakan politik murahan untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pagi tadi, pemimpin DAP yang diketuai oleh Adun Jalong, Leong Mei Ming mengadakan tunjuk perasaan bersama puluhan penduduk setinggan di Pejabat Tanah Daerah Kuala Kangsar dengan mendakwa kononnya kerajaan negeri tidak membantu mereka mendapatkan hak milik tanah yang didiami.

Menyifatkan demonstrasi itu sebagai politik murahan pembangkang, Adun Lintang, Datuk Ahamad Fakeh Adam, berkata pemimpin pembangkang itu cuba mengambil kesempatan di atas usaha yang dilakukan oleh wakil rakyat BN bagi menyelesaikan masalah setinggan yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

“Dalam tempoh dua tahun sahaja, saya bersama pegawai Pejabat Tanah dan Daerah turun padang ke kawasan penempatan setinggan untuk membuat bancian dan ketika ini, isu setinggan di kawasan Sungai Siput hampir selesai.

“Namun, pemimpin pembangkang ini cuba mengambil kesempatan dengan menghasut penduduk setinggan supaya tidak berpindah ke tempat yang disediakan oleh pihak kerajaan.

“Inilah politik murahan yang dipratikkan oleh pemimpin pembangkang di Sungai Siput dengan mengaburi mata rakyat bahawa hasil tunjuk perasaan dan demontrasi, maka kerajaan luluskan lot tanah sedangkan mereka hanya pandai bercakap tetapi langsung tidak buat kerja yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, petang tadi.

Katanya lagi, hasil bancian yang dijalankan, dianggarkan terdapat seramai 226 setinggan di Mukim Sungai Siput, Daerah Kuala Kangsar.

Antara kawasan penempatan yang dikenalpasti termasuklah Kampung Benggali, Kampung Veerasami, Batu 1, Lintang; Sungai Buloh dan setinggan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Daripada jumlah itu, 63 kes telah berjaya diselesaikan hasil usaha kerja wakil rakyat Lintang dan Pejabat Tanah dan Daerah.

Tambah Ahamad lagi, sebelum ini, pihak pembangkang juga telah menghasut setinggan Kampung Benggali supaya jangan berpindah dan kini tanah yang diduduki mereka telah diserahkan kepada pihak pemaju.

“Memandangkan penduduk degil, kita serahkan kepada pihak pemaju untuk menguruskan penempatan mereka ini sedangkan kerajaan negeri sebelum itu cuba membantu tetapi ditolak penduduk kerana telah termakan hasutan pembangkang.

“Sebenarnya, masalah setinggan di kawasan ini sudah hampir selesai dan ia hanya menunggu pelaksanaan sahaja iaitu kerja ukur tanah dan penyediaan infrastruktur seperti jalan, longkang dan bekalan air.

“Jika penduduk dapat menjelaskan bayaran premium tanah dan pembangunan dengan segera, saya yakin masalah ini dapat diselesaikan dengan lebih cepat,” tegas beliau lagi.

Menurut Ahamad lagi, kawasan tanah yang mampu menempatkan 200 lot kediaman juga telah dikenalpasti untuk mengatasi masalah setinggan di Sungai Siput.

Jelasnya lagi, masalah itu boleh diatasi dengan segera jika penduduk akur dengan perancangan yang diatur oleh pihak kerajaan negeri termasuklah berpindah ke kawasan penempatan yang disediakan kelak.

“Hari ini, kita lihat pembangkang seolah-olah ingin mencari ketam yang tidak bersepit, sekadar ingin mendapat nama di atas usaha dan kesusahan orang lain.

“Mereka (pembangkang) buat tunjuk perasaan untuk menghasut rakyat membenci kerajaan seolah-olah mereka inilah yang menjadi juara rakyat sedangkan ia satu pembohongan semata-mata,” kata beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");