Program Basmi Kemiskinan

Penjaja Resah Diarah Henti Operasi

Golongan penjaja kecil di Taman SPPK Pengkalan dekat sini, menyuarakan rasa bimbang dengan nasib dan masa depan mereka selepas menerima notis menghentikan operasi perniagaan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berikutan tiada lesen perniagaan yang sah.

Masalah timbul apabila penjaja terbabit berniaga di atas tanah rizab milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Walaupun mereka tidak mendapat bantahan daripada pihak PDRM  untuk beroperasi atas tanah rizab terbabit, namun sejak beberapa bulan lalu, mereka didatangi beberapa pihak yang mahukan mereka berpindah segera dari kawasan terbabit atas alasan tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

Sarimah Mohd Yaacob, 36, berkata, beliau telah didatangi beberapa pegawai penguatkuasa yang mendakwa ada pihak membuat laporan mengenai perniagaan mereka yang beroperasi secara haram.

“Saya dimaklumkan terdapat pihak yang telah membuat aduan mengenai perniagaan saya di sini.

“Selepas didatangi pegawai terbabit, saya menerima surat bertarikh 20 September mengarahkan supaya saya menghentikan perniagaan dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Sarimah yang sedih mengenai perkara tersebut berkata, beliau tidak tahu pihak mana yang boleh membela nasib penjaja kecil sepertinya.

Difahamkan, status tapak lokasi perniagaan terbabit juga menjadi tanda tanya buat mereka.

“Apabila saya hubungi PDRM, mereka memaklumkan bahawa tanah tersebut sudah diserahkan semula kepada pejabat tanah,” tambahnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan masalah tersebut berpunca daripada ketidakpuasan hati beberapa pihak yang melihat beliau berniaga di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ahmad Ridzuan Mohd Yusof, 53, berasa kesal dengan tindakan pihak atasan yang dilihat langsung tidak mahu membantu penjaja-penjaja kecil.

Menurutnya, setelah empat tahun membuat pemohonan, sehingga kini beliau masih belum menerima maklum balas daripada pihak PDRM bagi memberi kebenaran untuk mereka berniaga di tanah terbabit.

“Saya sudah cuba mendapat surat sokongan daripada mereka sejak tahun 2009 namun setiap kali dihubungi jawapan yang sama diberikan,” tambahnya.

Sehubungan itu, mereka merayu kepada pihak MBI tampil membantu dan mempermudahkan proses pemohonan lesen perniagaan penjaja kecil supaya masalah itu tidak menjejaskan periuk nasi mereka.

Jelas mereka lagi, pihak berkuasa tempatan sewajarnya menyelami masalah dihadapi golongan penjaja kecil sebelum mengeluarkan sebarang notis atau arahan kepada mereka.

“Kami mahu nasib penjaja kecil terbela dan tidak ditindas begitu sahaja,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");