Perak Hari Ini

Perak Negeri Pertama Laksana SWAT di Malaysia

Perak menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya melaksanakan Program Transformasi Secara Menyeluruh (SWAT) yang mana ia akan turut dijejaki oleh negeri lain selepas ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata negeri itu juga berjaya memastikan kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri memiliki Pelan Strategik Organisasi dan Pelan Strategik ICT yang lengkap mengikut format yang ditetapkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

“Selain itu, kejayaan lain yang dicapai ialah menjadi Pejabat SUK Perak menjadi pejabat pertama yang mempunyai Pelan Pengurusan Risiko tersendiri selain menjadi negeri pertama yang memiliki Pelan Kesinambungan Perkhidmatan tersendiri yang ditetapkan oleh MAMPU.

“Malah lebih membanggakan negeri Perak adalah negeri pertama yang melaksanakan Program Transformasi Secara Menyeluruh (SWAT) yang mana ia akan turut dijejaki oleh negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Negeri-Negeri Secara Menyeluruh peringkat negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Mohamad Zabidi Zainal dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Gazali Jalal yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan.

Zambry berkata, melalui transformasi itu, ia memberi penambahbaikan kepada sistem perkhidmatan awam agar menjadi lebih efisien dan cepat.

Selain itu, kerajaan negeri juga katanya, bercadang untuk menaikkan hadiah anugerah cemerlang dalam sektor perkhidmatan ketika ini yang bernilai RM5,000 kepada dua atau tiga kali ganda.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zambry berkata, program itu merupakan kemuncak kejayaan dan genggamam iltizam kerajaan negeri dalam memastikan agenda transformasi perkhidmatan awam khususnya di Perak dapat direalisasikan dengan jayanya.

Program SWAT di peringkat pentadbiran kerajaan negeri merupakan salah satu agenda transformasi kerajaan kepada agensi sektor awam termasuklah Pejabat SUK, Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Agama Islam negeri.

Komitmen ini dilaksanakan melalui khidmat runding dan kepakaran ICT yang diterajui MAMPU untuk memantapkan jentera pelaksana di setiap spektrum pentadbiran sektor awam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");