Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memuji kejayaan terbaru Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memainkan peranan penting dalam perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
“Perdamaian dapat dimeterai antara kedua-dua pihak ini membawa kepada wujudnya wilayah bangsa Moro, sekaligus menamatkan konflik berdarah yang berlanjutan sejak 40 tahun lalu.
“Melalui usaha ini juga, pembangunan dapat dilaksanakan untuk kepentingan bangsa Moro selain mengembalikan semula maruah dan menjanjikan masa depan yang jauh lebih baik kepada bangsa berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis bersama warga TLDM di Pangkalan Lumut, sebentar tadi.
Tambah Najib lagi, peranan sebagai orang tengah yang digalas oleh ATM turut berjaya mendamaikan kawasan berkenaan yang setakat ini telah mengorbankan 150,000 nyawa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perdamaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak itu juga menyebabkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak perlu meletakkan aset yang banyak di kawasan operasi iaitu di bahagian utara dan timur Sabah.
“Jika keadaan aman, maka kita tidak perlu meletakkan banyak kapal dan aset TLDM, sekaligus meringan dan mengurangkan tanggungjawab pasukan itu dalam menjaga perairan negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pembangkang seperti kehabisan modal dengan mempertikaikan kemampuan kapal selam Scorpene untuk menyelam selain kos pembelian yang terlalu mahal.
Katanya, kedua-dua isu sengaja dipolitikkan pihak pembangkang apatah lagi pilihan raya umum bakal berlangsung tidak lama lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut menjelaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dengan kebajikan warga ATM.
Jelasnya, ini kerana ATM adalah sebuah institusi yang penting dan perlu dipertahankan malah disuburkan serta diperkuatkan lagi dalam semua aspek.
Pengumuman Bajet 2013 baru-baru ini jelasnya, membuktikan keprihatinan kerajaan apabila meluluskan elaun khas RM200 sebulan kepada semua anggota ATM.
Tidak ketinggalan, kerajaan juga kata Najib akan memberi bantuan one-off RM1,000 kepada anggota yang bersara tanpa pencen.
“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) turut akan dinikmati anggota ATM yang isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan manakala yang bujang dengan pendapatan bawah RM2,000 pula bakal menerima RM250,” katanya.
Bantuan persekolahan RM100 bagi setiap murid termasuklah anak kepada anggota tentera turut disediakan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat, tambah Najib lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menjelaskan Janji Ditepati bukan sekadar slogan sebaliknya satu pegangan yang perlu dihayati sepenuhnya.
“Ia pegangan yang perlu dihayati bak kata pepatah kalau binatang dipegang pada talinya, maka manusia dipegang pada janjinya,” tegas beliau lagi.
Jelasnya, ATM adalah sebuah institusi yang penting dan perlu dipertahankan malah disuburkan dan diperkuatkan lagi dalam semua aspek.
Pada majlis itu juga, Najib turut mengumumkan peruntukan membina dewan SMK Pangkalan TLDM selain mengisytiharkan Lumut sebagai pusat sukan air di negara ini.