Isu Panas

Perincikan kaedah bayar hutang Talam, kata Tee Yong

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong, berharap langkah kerajaan Selangor yang akan membentangkan laporan Kertas Putih Talam pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) nanti dapat memperincikan kaedah mereka mendapatkan dana untuk menebus hutang anak syarikat kerajaan negeri tersebut.

Chua (foto fail) juga mempersoalkan kenapa selepas dua tahun baru sekarang Kertas Putih itu dapat disediakan dan mengapa Menteri Besar (MB) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil tempoh lama untuk mengeluarkan laporan tersebut.

“Saya tegaskan laporan tersebut mestilah memperincikan dengan jelas bagaimana kerajaan negeri Selangor memperoleh dana untuk membiaya hutang Talam,” kata Chua.

“Kenapa ambil masa yang lama? Kenapa selepas dua tahun baru laporan ini dikeluarkan.”

Ahli parlimen MCA itu juga berharap pembentangan laporan tersebut tidak menimbulkan permasalahan sama seperti yang dilakukan oleh badan audit bebas antarabangsa KPMG Transaction and Restructuring Sdn Bhd yang menimbulkan  banyak percanggahan.

“Satu lagi saya harap pembentangan laporan itu tidak sama seperti yang KPMG lakukan, saya sangat kecewa kerana ia menimbulkan lebih persoalan daripada jawapan,” tambah beliau.

“Laporan KPMG hanyalah satu pembersihan bermotif politik.”

Chua sebelum ini mendakwa kerajaan Selangor telah menyelamatkan Talam yang menghadapi masalah kewangan dan telah menguasai aset syarikat itu menerusi langkah penyusunan semula hutang pada harga jauh lebih tinggi dari yang dinilai secara rasmi.

Chua mencabar kerajaan negeri supaya menjelaskan bagaimana langkahnya mendapatkan semula hutang RM382 juta daripada Talam berakhir dengan urusan meragukan bernilai lebih RM1 bilion.

Susulan pendedahan tersebut, MB Selangor terpaksa melantik firma audit KPMG untuk membersihkan kerajaan Selangor daripada sebarang penyelewengan dalam pemulihan hutang RM392 juta milik Talam dan mengisytiharkan ia sebagai “keputusan komersial yang kukuh”.

Terbaru pada minggu lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan awal terhadap dakwaan berlaku urusan meragukan bernilai lebih RM1 bilion antara kerajaan negeri Selangor dengan Talam.

– THE MALAYSIAN INSIDER

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");