Perak Hari Ini

Projek Pembangunan Pekan Baru Trong Bermula Hujung Oktober Ini

Projek pembangunan pekan baru Trong yang membabitkan pembinaan deretan rumah kedai dan taman perumahan dijangka dimulakan pada hujung bulan ini, kata wakil rakyat kawasan itu, Datuk Rosli Husin.

Bercakap kepada Peraktoday.com, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, berkata pembinaan deretan lot kedai baru itu akan menggantikan kedai di pekan Trong yang sudah uzur dan dibina atas tanah milik persendirian.

“Untuk membangunkan kawasan ini, saya telah membangkitkan cadangan untuk mewujudkan pekan baru di Trong dalam Sidang Dewan Undangan Negeri dan akhirnya kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah menerima cadangan berkenaan.

“Projek pekan baru yang membabitkan pembinaan dereten rumah kedai dan taman perumahan dijangka bermula Oktober ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosli berkata, melalui usaha yang dilaksanakannya itu, ia diharap dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Projek itu juga katanya, merupakan perancangan rapi pihak kerajaan bagi memastikan peniaga yang berniaga di kedai lama dan uzur berdekatan tepi jalan dapat dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.

“Deretan kedai lama dan uzur itu akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek lebuhraya dari Damar Laut-Changkat Jering yang melalui Jalan 60.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan memberi peluang kepada peniaga di kedai lama untuk menyewa lot rumah kedai yang disediakan dengan tawaran harga yang berbeza dengan peniaga dari luar.

“Saya berharap peniaga lama di situ mengambil peluang ini untuk berniaga di lot rumah kedai yang bakal dibina nanti,” katanya lagi.

Dalam fasa pertama projek, sebanyak 19 unit kedai pejabat dua tingkat akan dibina berhampiran dengan kemudahan awam sedia ada seperti Pejabat Penghulu, gerai dan pejabat KEMAS.

Pembangunan dilaksanakan di kawasan seluas dua ekar oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Tenaga Danawa Sdn Bhd yang membabitkan anggaran kos RM2.1 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Pada Julai lalu, pelancaran projek pembangunan semula pekan kecil Trong telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Trong adalah pekan kecil tujuh di negeri Perak yang dibangunkan semula oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perak (PKNP) selepas Lawin, Tapah, Tengku Hussein dan Sungai Tapah (Gugusan Manjoi) dan Ijok, dekat Selama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");