Peguam Negara diminta supaya mengkaji secara menyeluruh terhadap dakwaan perlanggaran pertama NFCorp bagi menjamin keadilan untuk semua pihak.
Pengerusi National Feedlot Corporation (NFCorp) Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail, berkata pihak Peguam Negara juga perlu menjalankan siasatan terhadap perlanggaran pertama yang dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Ini kerana katanya, kementerian itu telah menangguhkan pembinaan Pusat Penyembelihan Berkualiti Eksport (Export Quality Abattoir – EQA) yang mampu menyembelih sebanyak 350 ekor lembu sehari.
“Penangguhan ini telah memberi impak terhadap jumlah pengeluaran daging lembu, pembinaan kemudahan-kemudahan berkaitan seperti kilang makanan ternakan dan loji bio gas serta penangguhan Entrepreneur Development Programme (EDP) yang mana semuanya amat bergantung kepada EQA,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas laporan media berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2011 berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang menyatakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan sivil terhadap NFCorp.
“NFCorp ingin menjelaskan bahawa dakwaan perlanggaran oleh NFCorp (yang dinafikan) perlu dikaji secara menyeluruh untuk keadilan bagi semua pihak.
“Kami juga menggesa Peguam Negara untuk bertindak adil dan tidak terpengaruh dengan hujah-hujah politik pembangkang serta menjalankan penyiasatan berdasarkan fakta-fakta yang telah diusulkan oleh Ketua Audit Negara berdasarkan Laporan Audit 2010,” katanya lagi.