Perak Hari Ini

Tanah 600 Hektar Untuk PPN Akan Diluluskan Secara Berkelompok

Kerajaan akan meluluskan tanah secara berkelompok kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak untuk dibangunkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Perladangan negeri, Datuk Saarani Mohamad, berkata tanah yang dipohon PPN itu akan diberi secara berkelompok dan bukan terletak di satu tempat atau kawasan sahaja.

“Mengikut rancangan awalnya, kerajaan negeri berhasrat memperuntukkan 600 hektar tanah kepada PPN Perak di kawasan Bidor.

“Namun, hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak berwajib mendapati wujud kegiatan pencerobohan haram di kawasan terbabit dan akhirnya kita bercadang menganugerahkan tanah terbabit secara berkelompok iaitu di kawasan A, B dan C,” katanya berucap pada Mesyuarat Agung PPN Perak Ke-36 di Ipoh, baru-baru ini.

Sebelum ini, PPN Perak telah memohon tanah seluas 600 hektar untuk dibangunkan dengan projek tanaman sawit yang akan dijayakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang masih belum memiliki tanah sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata PPN Perak bukan saja berjaya membantu ahlinya dari segi ekonomi tetapi juga memajukan lagi sektor pertanian dan perladangan negara.

Tegasnya lagi, dengan bajet besar yang diperuntukkan untuk Kementerian Pertanian, PPN dan PPK tidak akan dipinggirkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini, Kementerian Pertanian menerima peruntukan RM5.8 bilion dan sejumlah RM432 juta akan dibelanjakan untuk projek tanam semula komiditi dan tanam baru di seluruh negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");