
KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin tidak mahu terlalu memikirkan sasaran podium menjelang Grand Prix (GP) Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.
Pelumba yang bakal menginjak usia 21 tahun sehari sebelum GP Malaysia berkata, kalau boleh dia tidak mahu meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan berlumba di depan penyokong sendiri, sekalipun menyedari rakyat Malaysia mengharapkan dia naik podium.
“Saya mahu merasai keseronokan berlumba di tempat sendiri namun dalam masa sama saya akan tetap berusaha melakukan yang terbaik pada perlumbaan hujung minggu ini,” katanya pada sesi bertemu media yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dan Ketua Jenama dan Perniagaan Sampingan Kumpulan Air Asia, Ishsal Ishak semalam.
Selepas sesi tersebut, Zulfahmi yang disertai tiga lagi pelumba Moto3, Sandro Cortese, Danny Kent dan Athur Sissis meluangkan masa bersama prinsipal pasukan Ajo Motosports, Aki Ajo serta Razlan bermain laser tag di Galactic Laser.
Zulfahmi berharap, keputusan menyakinkan pada GP Jepun minggu lalu apabila menamatkan saingan pada kedudukan kelima dapat dikekalkan di Sepang nanti.
“Krew pasukan telah melakukan beberapa perubahan pada motosikal terutama tayar yang kami gunakan. Perubahan yang dibuat ini berjalan lancar di Jepun, cuma pada hujung perlumbaan saya terpaksa bersaing dengan Alex Rins.
“Saya berharap perlumbaan di Sepang nanti saya akan dapat mencatat keputusan yang lebih baik,” ujar pelumba AirAsia-SIC-Ajo itu.
Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu turut melahirkan keyakinan untuk mencapai sasaran mengumpul 100 mata pada perlumbaan musim ini.
Setakat ini Zulfahmi memungut 92 mata dan berada pada tempat ketujuh keseluruhan.
Sementara itu, Aki pada sidang akhbar yang sama mengakui ketika ini dalam saingan Moto3 dunia, Zulfahmi merupakan pelumba terbaik Asia.
“Saya benar-benar gembira dengan pencapaian Fahmi pada musim ini, dia seorang pelumba yang hebat dan saya yakin kami mampu melakukan bersama-sama,” katanya.
– UTUSAN