Perak Aman Jaya, Perak Hari Ini

Dialog Antarabangsa Pangkor 2012 Platform Perak Jadi Pusat Persidangan Bertaraf Dunia

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata aspek pembangunan yang dipilih sebagai tema prelude persidangan Dialog Antarabangsa Pangkor 2012 yang membuka tirainya hari ini sentiasa relevan, sekaligus berpotensi meletakkan negeri Perak sebagai pusat persidangan bertaraf dunia di  masa akan datang.

Meskipun ada pihak yang mendakwa tema atau modul itu tidak sesuai dibahaskan lagi, namun kerajaan negeri katanya, mahu menjadikan persidangan itu sebagai sebagai medan bagi membahaskan aspek pembangunan yang akan dibentangkan oleh tokoh pemikir ternama.

“Kita akui untuk menganjurkan persidangan bertaraf antarabangsa memerlukan perancangan besar dan sebagai permulaannya, prelude Dialog Antarabangsa Pangkor 2012 dianjurkan di bandar raya Ipoh sebagai persiapan meletakkan ia setanding dengan Dialog Antarabangsa Langkawi.

“Selain itu, kerajaan negeri yakin dapat mencapai sasaran itu berikutan kerjasama dan komitmen baik yang diberikan oleh empat universiti di negara ini terdiri Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Zambry merasmikan persidangan Dialog Antarabangsa Pangkor (PIDD) 2012 anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) dengan keempat-empat universiti berkenaan yang dihadiri seramai 300 peserta dari seluruh negara.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Nayan dan Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim.

Mengulas lanjut, beliau berkata persidangan itu akan berlangsung di Pangkor, tahun depan dan segala cadangan pada persidangan buat pertama kali ini bakal dinilai oleh kerajaan negeri untuk tindakan seterusnya.

Sementara itu, kerajaan negeri juga katanya, merancang untuk menyediakan lebih banyak pusat persidangan bagi membolehkan persidangan bertaraf antarabangsa berlangsung di bandar raya Ipoh.

“Ketika ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di peringkat akhir menyiapkan model pusat persidangan yang boleh memuatkan lebih 3,000 peserta pada satu-satu masa.

“Kita harap dengan wujudnya pusat persidangan bertaraf antarabangsa di Ipoh nanti, ia akan memberi impak positif kepada ekonomi dan pertumbuhan negeri secara menyeluruh,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, sebelum ini, kerajaan negeri berjaya meletakkan nama Perak di peta antarabangsa dengan menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa termasuklah dalam sektor pelancongan dan seni budaya.

“Sektor pendidikan turut menjadi tumpuan utama apabila kerajaan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mewujudkan pusat pendidikan bertaraf antarabangsa di Perak,” katanya.

Tambah beliau, terdapat beberapa universiti bertaraf antarabangsa di Perak dan salah satu daripadanya ialah UTP di Tronoh.

“Di sektor pelancongan pula, kita telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila Lembah Lenggong dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO selain menganjurkan tiga program utama berteraskan pelancongan berasaskan sukan yang mendapat liputan baik di kalangan media massa.

“Untuk sektor seni dan budaya pula, kerajaan negeri menganjurkan Pesta Antarabangsa Lagu Rakyat dan Puisi Pangkor yang kini masuk tahun ketiga penganjurannya,” kata Zambry lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");