Berita Hari Ini

Konsep Kesederhanaan Malaysia Diterima Asem – PM

Para pemimpin Asia dan Eropah menerima baik konsep kesederhanaan yang diajukan Malaysia dalam menyelesaikan konflik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Perdana menteri berkata malah, konsep ini telah dimasukkan ke dalam deklarasi sidang kemuncak serta kenyataan pengerusi Sidang Kemuncak Asia Eropah (Asem ke-9).

“Saya telah kemukakan semasa mesyuarat itu bahawa konsep kesederhanaan boleh menyumbang kepada penyelesaian konflik serta mencegah konflik pada masa depan,” katanya kepada media Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak dua hari Asem di Vientiane.

Najib berkata beliau berkongsi dengan sidang kemuncak itu tentang bagaimana konflik 40 tahun di Filipina diselesaikan melalui pendekatan kesederhanaan yang dilaksankan kerajaan Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Malaysia yang bertindak sebagai pemudah cara.

“Jika semua mengambil pendekatan keras, konflik itu pastinya tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Pada 15 Oktober, Manila and MILF menandatangani perjanjian untuk menamatkan konflik itu yang telah mengorbankan 120,000 orang. Najib menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di Manila.

Pendekatan kesederhanaan lain ditunjukkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Malaysia apabila mereka menghulur bantuan kepada mangsa Islam dan juga Buddha di wilayah bergolak Rakhine, katanya pada sidang kemuncak itu.

Najib berkata NGO Malaysia tidak melihat konflik itu sebagai isu agama tetapi sebagai isu kemanusiaan yang terbit daripada masalah kemiskinan.

Menyentuh konflik di Syria kini, beliau berkata mesyuarat itu merasakan bahawa terdapat keperluan untuk gencatan senjata serta mencari penyelesaian politik dalam menangani konflik itu.

Pada acara sampingan mesyuarat itu, Najib berjumpa dengan Presiden Bulgaria Rosen Plevneliev, Perdana Menteri Slovenia Janez Jansa dan Setiausaha Luar United Kingdom William Hague.

Najib berkata kerajaan British mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas peranannya dalam memudahkan penyelesaian konflik 40 tahun di selatan Filipina.

Mereka juga menggalakkan para pelabur Malaysia menceburi pembangunan hartanah di United Kingdom, katanya.

Mengenai pertemuannya dengan rakan sejawatan Slovenia, perdana menteri berkata mereka merasakan Pelabuhan Klang di Malaysia dan Pelabuhan Koper di Slovenia boleh bekerjasama untuk kemasukan lebih mudah barangan ke pasaran Eropah.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");