Isu Panas

Pas tidak akan umum awal calon PRU-13

Pas tetap dengan pendirian tidak akan mengumumkan awal senarai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana ia disifatkan tidak munasabah memandangkan tarikhnya pilihan raya masih belum diumumkan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kebiasaannya Pas akan mengumumkan senarai calon bila menjelang PRU.

Katanya, buat masa ini Pas tidak dapat mengumumkannya lagi dan menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat untuk menentukannya.

“Itu tak munasabah kerana tarikh PRU pun tak tahu lagi kalau nak tahu awal ke tak kena umum dulu.

“Kebiasaannya kita umum bila PRU iaitu satu atau dua hari sebelum,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemberita sama ada Pas akan mengumumkan senarai calon bertanding pada PRU akan datang lebih awal.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan bahawa parti itu akan menamakan calon PRU lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini bagi mengelak perbuatan sabotaj termasuk mereka yang tidak dipilih mewujudkan ‘pasukan’ bagi menjatuhkan calon terpilih.

Abdul Hadi berkata, Pas sudah mengenal pasti senarai calon-calon dan menyerahkannya kepada Majlis Syura Ulama.

Katanya, senarai calon-calon itu akan diteliti oleh Majlis Syura Ulama sebelum diluluskan.

“Kita sudah kenal pasti calon dah semua calon perlu diluluskan oleh Majlis Syura Ulama. Mereka perlu meluluskan. Bila dah luluskan nama-nama layak bertanding maka yang lain digugurkan.

“Senarai calon kali ini termasuk golongan profesional dan kita lihat daripada peringkat akar umbi. Kerana bukan saja nak letak calon tapi mahu calon boleh menang,” katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai keputusan Pas mengarahkan ahlinya untuk mengundi PKR dan DAP yang merupakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR), Abdul Hadi berkata, ia merupakan ‘persefahaman’ dicapai antara ketiga-tiga parti itu.

Katanya, Pas ‘tidak meminta’ ahli PKR dan DAP untuk mengundi parti itu, sebaliknya perkara itu saling difahami antara satu sama lain.

“Itu persefahaman kita dan mereka juga mengundi kita sama-sama. Itu menunjukkan kita boleh memahami hasrat antara satu sama lain.

“Terpulang pada Pas untuk mengarahkan ahlinya berbuat demikian atau tidak kerana itu hak Pas,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");