Berita Hari Ini

Politik perkongsian kuasa jadi pasak kekuatan BN: Muhyiddin

Kebijaksanaan pemimpin terdahulu memilih acuan politik perkongsian kuasa terdiri daripada UMNO, MCA serta MIC menjadikan negara kekal aman, makmur dan sejahtera.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata apabila Barisan Nasional (BN) dibentuk pada 1974, permuafakatan yang terjalin semakin kukuh dengan lebih banyak parti mewakili pelbagai etnik dan suku kaum bergabung, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, prinsip itu sentiasa dipupuk serta disuburkan sehingga kini menjadi pasak kepada kekuatan BN.

“Sepanjang lima dekad pemerintahan BN, muafakat yang dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai,” katanya dalam ucapan perasmian serentak tiga sayap – Pemuda, Wanita dan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, ada kalanya UMNO diduga dengan pelbagai cabaran serta tuntutan, tetapi meja rundingan BN sentiasa dapat menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum.

Meskipun begitu, katanya, bagi puak yang keras dan melampau dalam pemikiran dan tindakan politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman serta agama yang sempit bagi menagih laba politik.

Beliau berkata, parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah yang membakar sentimen agama serta perkauman bukannya UMNO, MCA, MIC atau parti komponen BN yang lain, sebaliknya ia didalangi PAS dan DAP.

“Merekalah yang mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita. Kononnya undi PAS masuk syurga, sembelihan orang UMNO tidak halal, solat berimamkan orang UMNO tidak sah.

“Malah, mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang UMNO yang juga saudara seagama mereka. Merekalah yang menyuburkan syak wasangka, merekalah yang membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang membaja benih-benih kebencian,” katanya.

– BERITA HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");