Membawang Hari Ini

Teater Dr Siti Hasmah disambung dari 29 Nov hingga 3 Dis

Oleh kerana sambutan yang menggalakkan, pementasan Tribute Teater Dr Siti Hasmah-Dari Hati Seorang Perempuan akan disambung semula dari 29 November hingga 3 Disember ini.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya dan penerbit World Islamic Network Television telah bersetuju untuk mementas lapan pementasan termasuk di sebelah siang pada Sabtu dan Ahad.

“Kami telah menerima kebenaran daripada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

“Sempena dengan Perhimpunan Agung Umno, kami berharap lebih ramai peminat dapat menikmati pementasan ini,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini teater selama dua jam ini dipentaskan dari 9 hingga 19 Nov lalu yang mendapat sambutan hangat sehingga ada penonton yang terpaksa berdiri di dalam Panggung Sari, Istana Budaya di sini.

Tiketnya kekal pada harga antara RM30 hingga RM350 yang pertunjukkannya bermula jam 8.30 malam sementara pada Sabtu dan Ahad mulai 3 petang.

Beliau berkata, pasukannya menjangkakan lebih ramai penonton berikutan publisiti, ulasan yang baik dan cakap-cakap yang disebarkan dari mulut ke mulut mengenai teater ini.

“Selain persembahan cemerlang pelakonnya serta mesej yang memberi inspirasi kepada wanita di setiap peringkat umur, pengarahnya Erma Fatima turut menyentuh hati banyak orang dengan hasil arahannya.

“Sebagai seorang wanita, Erma memahami cabaran yang dilalui Tun Dr Siti Hasmah yang jelas dilihat dalam teater ini,” kata Mohamed Juhari.

Beliau menambah dengan kehadiran nama-nama besar seperti Azizah Mahzan, Syanie Hashim, Radhi Khalid, Lisa Surihani, Esma Daniel, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja dan pendatang baru Nadzim Othman, tiada ragu-ragu lagi teater ini akan sekali lagi mendapat sambutan hangat.

Sementara itu Pengerusi World Islamic Network Television, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan melahirkan rasa syukur dengan kejayaan teater ini.

“Alhamdulillah, kami tidak pernah menjangka akan mendapat ulasan yang hebat serta sokongan daripada peminat teater dan saya amat teruja melihat kebanyakan penonton ialah dari generasi muda berumur antara 17 hingga 30 tahun,” katanya.

Menurut beliau, jurang antara generasi muda dengan Tun Dr Siti Hasmah adalah agak luas, tetapi berikutan karisma peribadi beliau, teater mengenai diri beliau ini menarik minat generasi muda.

“Berdasarkan respons yang saya peroleh dari penonton generasi muda, tiada terdapat sebarang biografi mengenai Tun Dr Siti Hasmah, dan oleh kerana beliau sangat disayangi dan dihormati oleh negara, teater ini menjadi jambatan yang menghubung Tun Dr Siti Hasmah dengan para peminatnya,” katanya.

Khairuddin menambah semua pelakon telah mengesahkan komitmen untuk berlakon dalam lanjutan pementasan ini kecuali Lisa Surihani yang belum memberi jawapan.

“Kami juga berharap pemimpin dan anggota Umno yang menghadiri persidangan mereka akan mencari masa untuk menyaksi pementasan teater ini. Saya juga akan bertemu Tun Hasmah untuk mendapat kebenaran beliau bagi memfilemkan teater ini agar dapat dikongsi oleh setiap orang terutama yang tinggal di luar Kuala Lumpur,” kata beliau.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");