Perak Hari Ini

Tindakan Nurul Izzah Ancam Akidah Dan Kepercayaan Umat Islam- Exco Pemuda UMNO

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung isu kebebasan memilih agama di kalangan orang Melayu amat merbahaya kerana mengancam akidah dan menyesatkan umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, Exco Pergerakan Pemudanya, Mohd Hisamuddin Yahaya, menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas dalam menangani isu tersebut.

“Kenyataan seperti itu tidak boleh diterima sama sekali oleh masyarakat Islam di negara ini.

“Ia tidak boleh diterima sama sekali bagi seseorang Melayu yang anutan agamanya adalah Islam.

“Sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama Islam sepatutnya dielak sama sekali dan bukan dibuat sesuka hati bagi menarik sokongan politik murahan.

“Beliau (Nurul Izzah) sanggup mengeluarkan kenyataan itu demi mencapai cita-cita politik pembangkang,” katanya kepada pemberita, selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan 2012 Sekolah Kebangsaan Cikgu Mior Shaharuddin (SKCMS), Kampung Padang Tenggala, dekat Parit, hari ini.

Terdahulu, Hisamuddin yang juga bekas murid sekolah tersebut, telah menyampaikan sumbangan bernilai RM500 termasuk peralatan sukan disamping bersetuju menaja keseluruhan perbelanjaan Program Motivasi Murid dan Ibu Bapa 2013 SKCMS bernilai hampir RM2,500.

Hisamuddin yang Pengerusi Biro Pemilih dan Keahlian Pemuda UMNO berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nurul Izzah dalam forum Negara Islam:Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Anak kepada Ketua Pembangkang itu dipetik menerusi laporan portal propembangkang, Malaysiakini berkata:”Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama..Mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama-rata.’’

– NOORAINI MAHAMAD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");