Berita Hari Ini

Wanita muda perlu berani ceburi bidang kritikal: Rosmah

Golongan wanita muda di negara ini perlu meneruskan perjuangan memartabatkan golongan wanita dan berani menceburi bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, aeroangkasa dan nano-teknologi.

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sebagai golongan pelapisharus terus relevan dalam arus pembangunan dan sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan diri.

“Barulah nanti saudari mampu berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki apabila setiap yang ada di hadapan saya ini adalah wanita muda profesional.

“Saya harap saudari tidak mudah putus asa kerana bukan senang untuk berjaya di mana kita perlu komited serta fokus,” katanya pada Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Rosmah selaku penaung himpunan itu turut memuji sikap keterbukaan golongan wanita yang dapat menerima teguran dan pandangan orang lain dan mampu membantu golongan itu untuk memainkan peranan membangunkan negara.

“Sikap ini sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negara dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya,” katanya.

Beliau menasihatkan golongan wanita khususnya wanita muda supaya menanamkan semangat juang yang tinggi dengan berusaha bersama-sama untuk meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik, progresif serta berdaya saing.

“Kita jangan lemah dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan kita… bahkan saya sendiri selalu mendengar cerita kurang manis tentang diri saya sendiri.. tetapi ia langsung tidak menjejaskan saya kerana saya perlu meneruskan kehidupan demi suami saya, anak-anak saya, negara saya, Barisan Nasional dan juga wanita muda,” katanya.

Justeru itu, Rosmah mahu golongan wanita keluar daripada kerangka Malaysia dengan menerokai sesuatu bidang hingga ke peringkat global dan meletakkan penanda aras supaya pencapaian setaraf dengan wanita di negara maju.

“Justeru majlis seumpama ini adalah satu platform amat baik dan relevan kepada golongan wanita bagi mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai bidang serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman di samping meningkatkan jaringan atau
‘network’,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");