Sukan Hari Ini

Azizulhasni, Fatehah atlet terbaik Terengganu

Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa bersama piala Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2011/2012 pada majlis Anugerah Sukan Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu malam kelmarin. – Utusan/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU – Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa menepati ramalan apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2011/2012 dengan pencapaian mereka yang terus menyerlah di peringkat antarabangsa.

Kejayaan itu menyaksikan kedua-duanya kekal mengungguli anugerah tersebut buat kali ketiga berturut-turut selepas 2007/2008 dan 2009/2010.

Kemenangan itu membolehkan Azizulhasni dan Fatehah menerima hadiah wang tunai bernilai RM7,000 serta sehelai blazer, piala pusingan dan sijil penghargaan.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada kedua-dua jaguh berkenaan pada majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2011/2012 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini malam kelmarin.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nurzahirah turut berangkat ke majlis tersebut. Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; barisan Exco Kerajaan Terengganu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

Dalam pada itu, dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan Terengganu 2011/2012 dan mereka wang RM3,000 seorang selain piala pusingan.

Persatuan Lawn Bowls Terengganu pula merangkul Anugerah Pengurusan Persatuan Terbaik diikuti Anugerah Tokoh Sukan (sepak takraw) disandang Shapian Ali manakala Syed Hussaini Syed Mazlan menerima Anugerah Jurulatih Terbaik (berbasikal).

Chee Geok Song menerima Anugerah Kepimpinan Sukan (hoki wanita), Allahyarham Datuk Mustofa Abd. Rahman dan Allahyarham Razali Mamat (tinju) menerima Penghargaan Jasamu Dikenang serta Mohd. Radzi Mat Data (kanu) untuk Anugerah Penghargaan Pegawai Teknikal (hakim acara slalom-Olimpik London 2012).

Bagi Anugerah Khas Paralimpik (Sukan Paralimpik London 2012) menjadi milik Mohamad Azwar Bakar @ Ibrahim (ping pong) dan Abd. Rahman Razali (lawan pedang berkerusi roda) manakala Nuramalia Haneesha Mazlan (memanah) menerima Anugerah Khas (atlet termuda kebangsaan).

Pasukan hoki wanita dan pasukan sepak takraw pula masing-masing diumumkan sebagai Pasukan Terbaik Wanita dan Lelaki 2011/2012.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");