Perak Hari Ini

Bajet Alternatif: PR Terus Berbohong Kepada Rakyat: DS Zambry

Bajet alternatif yang dibentangkan Pakatan Rakyat (PR) Jumaat lalu, merupakan satu lagi pembohongan pihak pembangkang terhadap rakyat kerana bajet berimbang yang kononnya pertama kali dibentangkan di Perak itu sebenarnya adalah bajet lebihan atau surplus.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata bajet alternatif pembangkang yang dibentangkan oleh Pengerusi PR negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin itu sekadar untuk mengaburi mata dan meraih sokongan daripada rakyat menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

“Apa yang mereka lakukan itu semata-mata untuk mainan pilihan raya dan jika mereka kononnya lebih hebat dan ingin membela kepentingan rakyat dalam tempoh tiga tahun lalu, PR juga seharusnya membentangkan bajet mereka dalam tempoh itu. Soal serius atau bertanggungjawab langsung mereka tidak kisah.

“Selain itu, segala perincian bajet alternatif juga tidak dinyatakan dan mendakwa ini kali pertama kali PR di Perak membentangkan bajet berimbang sedangkan Nizar ini sebenarnya cakap main hentam sahaja dan syok sendiri.

“Jika dari segi metadologi pun sudah salah, maka segala perkiraan dalam bajet itu juga salah. Ini bermakna pihak pembangkang telah berbohong semata-mata untuk meraih sokongan rakyat,” katanya dalam Program Selamat Pagi Dr Zambry di PerakFM, sebentar tadi.

Mengulas isu sama, Zambry berkata, bajet alternatif turut menyatakan pihak pembangkang dianggarkan mendapat terimaan bukan hasil daripada kerajaan Pusat berjumlah RM359 juta.

Sebaliknya, Bajet 2013 yang dibentangkan kerajaan BN semalam katanya, hanya menganggarkan terima bukan hasil daripada peruntukan kerajaan Pusat berjumlah RM169 juta.

“Kita di pihak BN anggarkan kita dapat RM169 juta daripada kerajaan Pusat tetapi bajet alternatif PR menyatakan mereka bakal dapat RM359 juta. Soalnya dari mana datangnya wang itu? kata Zambry lagi.

Selain itu, beliau juga mempertikaikan bajet alternatif yang bercadang melaksanakan tender terbuka untuk menjual tanah bagi menambah hasil negeri selain turut mempersoalkan berapa jumlah hasil yang diterima mereka ketika PR memerintah Perak sebelum ini.

“Sedangkan mereka tahu kadar premium tanah ini berbeza-beza misalnya untuk rakyat yang susah, mereka yang mengusahakan tanah pertanian dan tanah pembangunan. Katogeri-katogeri ini berlainan dan tidak boleh dikira pukul rata seperti yang ingin dilaksanakan oleh pihak pembangkang,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun, mengakui bajet alternatif PR itu memberi kelebihan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membuktikan bajet pihak mana yang lebih realistik, bukan sekadar dengan hanya membuat anggaran hasil yang bakal diterima.

Semalam, Zambry membentangkan Bajet 2013 selama dua jam di Persidangan Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan lebih 50 peratus daripada perbelanjaan pembangunan diagihkan kepada program mensejatera dan memakmurkan rakyat Perak.

Bajet 2013 berjumlah RM948.47 juta dengan defisit diunjurkan sebanyak RM42.86 juta berbanding RM50.14 juta melalui bajet tahun ini.

Bajet yang digubal atas prinsip dan tema ‘Negeri Sejahtera, Rakyat Terbela’ itu turut menyaksikan peruntukan pembangunan rakyat bertambah kepada RM322 juta juta berbanding RM321 juta pada 2012.

Daripada keseluruhan bajet berjumlah RM948.47 juta itu, sebanyak RM626.27 juta diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus manakala RM322 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Anggaran hasil negeri dijangka berjumlah RM905.61 juta yang berasaskan sumber yang dikenalpasti dan tahap kemampuan kerajaan negeri memperolehinya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");