Membawang Hari Ini

Boboi kurang menyengat?

Pernah dinobatkan sebagai naib juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2011 bukan bererti kumpulan ini mampu menjadi saingan hebat kepada peserta MLM tahun ini.

Meski pun sudah masuk minggu keenam, mereka dilihat gagal menyerlah dan memikat hati penonton.

Ia terbukti apabila dari segi undian, kumpulan yang dianggotai Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Nabil ini hanya mampu berada di kedudukan kelima berbanding lapan kumpulan.

Nyata tuah masih belum menyebelahi kumpulan Boboi yang kini ketinggalan lebih jauh.

Sama ada mampu bergelar juara atau sebaliknya, Boboi perlu bekerja keras menambat hati penonton. Mengangkat tema rancangan televisyen Jumaat lalu, persembahan Boboi kurang menyengat.

Melakonkan semula rancangan televisyen kanak-kanak, Afdlin, Harun dan Nabil, bagaimana pun tidak berjaya membuatkan penonton yang hadir ketawa menyaksikannya.

Pun begitu, mereka masih boleh diberikan pujian kerana masih mempunyai mesej yang hendak disampaikan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keserasian ketiga pelawak ini, mereka mampu berinteraksi dengan baik sesama sendiri.

Mengakui sedang bekerja keras dalam memastikan Boboi tidak tersenarai dalam kedudukan tiga tercorot, Harun berkata, Boboi akan terus beri yang terbaik.

“Menang atau kalah sudah menjadi adat pertandingan, semua orang mahu bergelar juara, bagaimana pun, itu bukan persoalannya kerana niat kami hanyalah satu iaitu untuk memperjuangkan industri komedi tanah air agar dapat diterima ramai,” katanya kepada Zass.

Tingkat mutu persembahan

Mengulas lanjut mengenai penglibatan Boboi, Harun berkata, bukan mudah untuk menghiburkan hati penonton.

“Kehadiran Boboi bukan sekadar menjadi penghibur semata-mata. Adakala tugasan kami tidak sampai ke hati peminat. Apa pun, kami cuba melakukan sehabis mungkin untuk meningkatkan lagi komedi di peringkat yang lebih baik,” katanya.

Ditanya mengenai penglibatan Nabil sebagai ahli baru kumpulan itu, Harun menjelaskan, pelakon filem Pontianak VS Orang Minyak itu, banyak membantu dalam menghasilkan idea yang menarik.

“Walau pun dia sibuk dengan lakonan dan tugasan lain, namun dia tetap memberi komitmen sebagai ahli Boboi,” katanya Boboi meletakkan impian untuk melakukan terbaik bagi persembahan akan datang.

Berkongsi mengenai persembahan peserta lain pula, Harun mengakuinya, dia sangat mengagumi Jozan, Jambu, Shiro dan Saywho.

“Mereka masih muda dan dari segi persembahan, berjaya tawan hati penonton. Semua bertanding bukan calang-calang peserta dan mereka dipilih berdasarkan corak persembahan tersendiri,” katanya.

Wulan kecewa

Sementara itu, juri tetap MLM 2012, Wulan Guritno menyatakan rasa tidak puas hatinya dengan persembahan Boboi pada minggu itu.

Jelasnya, Boboi dilihat kurang menonjol dari segi persembahan jika dibandingkan dengan peserta lain.

“Minggu ini Boboi dilihat kurang menyerlah berbanding minggu sebelumnya, saya berharap Boboi dapat lakukan yang terbaik pada minggu akan datang.

“Setiap kesalahan perlu diperbaiki dalam menunjukkan mutu persembahan menarik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, minggu keenam turut menyaksikan pengakhiran bagi kumpulan The Bandung Jokers apabila tersingkir minggu itu.

Sempat meluahkan perasaan mereka, The Bandung Jokers berkata, mereka turut berasa kecewa kerana tidak mampu meneruskan perjuangan seperti peserta lain.

“Apa pun, kami tetap bersyukur kerana masih kekal sehingga minggu keenam. Walaupunnya kami tersingkir bukan bermaksud karier kami sebagai pelawak akan mundur,” kata peserta dari Indonesia ini.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");