Perak Hari Ini

Cerita Rakyat Perak Bakal Diterbitkan: Hamidah

Kerajaan Perak dan Tourism Malaysia akan bekerjasama menerbitkan buku cerita rakyat mengikut daerah sebagai salah satu usaha mempromosikan sektor pelancongan di negeri itu.

Exco Industri, Pelaburan dan Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata setiap daerah di Perak mempunyai cerita rakyat masing-masing yang boleh diterbitkan dalam bentuk buku sebagai rujukan kepada pemandu pelancong.

“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Persatuan Karyawan Perak untuk menyunting buku cerita rakyat mengikut daerah di Perak dan kita harap usaha ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Ketika ini, bahan untuk koleksi cerita rakyat ini sudah ada kerana sebelum ini, Tourism Malaysia telah menjalin kerjasama dengan pelajar Universiti Teknologi Mara (UitM) untuk mengumpulkan cerita rakyat di setiap daerah untuk diterbitkan dalam sebuah buku yang agak nipis.

“Buku ini juga akan diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris kerana kita mahu seramai mungkin rakyat dan pelancong tahu cerita rakyat di Perak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Pesta Buku Perak di pasar raya Mydin, dekat Meru Raya, hari ini.

Pesta buku yang bermula 25 Disember berjaya menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung dan dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam negeri Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidah berkata, satu sudut khas dan kekal akan diwujudkan di Perpustakaan Awam Negeri di Ipoh untuk mempamerkan hasil karya penulis kelahiran Perak kepada para pengunjung.

Sebagai permulaan, kerajaan negeri katanya, menyediakan peruntukan RM10,000 untuk membeli 25 buku yang dihasilkan penulis tempatan untuk dipamerkan di perpustakaan berkenaan.

“Selain menempatkan buku hasil nukilan penulis kelahiran Perak, kita juga akan menyediakan biografi ringkas setiap penulis untuk makluman pengunjung dan ini merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan daripada kerajaan negeri di atas sumbangan mereka selama ini,” tegas beliau lagi.

Dengan penghargaan itu, lebih ramai penulis kelahiran Perak tampil ke hadapan untuk menghasilkan karya nukilan mereka pada masa akan datang, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri kata Hamidah, bercadang untuk menganjurkan Minggu Karyawan pada tahun depan bagi menyemarakkan lagi warisan seni dan kebudayaan tempatan.

Minggu Karyawan ini katanya, akan mengetengahkan segala aspek yang berkaitan kesenian dan kebudayaan termasuklah penulisan syair dan puisi.

Terdahulu, Hamidah turut melancarkan 25 buku nukilan penulis Perak antaranya Pyan Habib (Balada); Jaafar Abdul Rahim (Aksioma); Zainal Abas (Memoir Seorang Juruhebah), Aima Armia (Sisipan Cinta Mengharum) dan Rahmaniah Kantan (Di Sini Kasihku).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");