Membawang Hari Ini

Darah seni P. Ramlee dalam diri Najua

NAMANYA mungkin tidak sehebat Aznil Nawawi, namun status sebagai cucu kepada seniman agung P. Ramlee cukup memberi keistimewaan kepadanya.

Najua P. Ramlee atau nama sebenarnya Najua Nasir, 26, pernah berlakon dalam beberapa teater yang hebat seperti Puteri Gunung Ledang dan Gerimis Mengundang.

Darah seni terus mengalir dalam keluarga pelakon ini.

“Datuk, ayah, ibu dan adik-adik saya semua terlibat dalam industri seni. Jadi, memang turun temurun dan kami akan teruskan legasi ini,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas pementasan pertama teater Muzikal Ali Baba.

Karya arahan P. Ramlee, Ali Baba dan 40 Penyamun yang tidak lapuk ditelan zaman ini diangkat oleh Lokman Ghani dalam teater Muzikal Ali Baba yang sudah memulakan pementasan di Istana Budaya minggu lalu.

Dalam pada itu, mungkin perasaan Najua berlainan dengan pelakon lain apabila melakonkan karya datuknya sendiri, namun Najua menafikan perkara tersebut.

“Perasaan saya sama saja macam orang lain yang mengkagumi P. Ramlee walaupun saya cucu beliau.

“Hakikatnya, saya tak berkesempatan bertemu dia. Jadi, bagaimana orang lain rasa minat beliau, sebenarnya, itulah yang saya rasa,” jelasnya.

Anak kepada pelakon, Rashidah Jaafar ini sempat melahirkan kegembiraan apabila diberi kepercayaan untuk memegang watak isteri kepada Kassim Baba, Aloyah.

“Alhamdulillah saya diberi kepercayaan untuk membawa watak Aloya dalam teater muzikal Ali Baba ini.

“Sebenarnya, agak susah juga untuk saya bawakan watak Aloyah,” katanya yang hanya mempuyai tiga minggu untuk menjiwai watak tersebut.

Bekerja di samping pelakon yang terkenal dengan humornya yang tinggi seperti Ebby Yus dan Aznil, Najua akui ia memberi ruang untuknya berfikir lebih kreatif dan cepat.

“Saya kena fikir cepat untuk ‘kejar’ mereka. Ia perkara yang sangat positif.

“Saya perlu cari keserasian dengan watak suami, Kassim Baba, bukan Ebby Yus dan kami belajar bersungguh-sungguh untuk menghidupkan karakter masing-masing,” katanya.

Najua juga memberitahu, bekerjasama dengan Ebby Yus membuatkan krew ‘pecah perut’ setiap kali latihan.

“Sepanjang kami latihan, memang kami ketawa tidak henti-henti. Ada saja yang keluar dari mulut dia,” katanya yang menganggap itu sebagai hiburan di waktu tubuh kepenatan menjalani latihan.

Teater Muzikal Ali Baba akan berlangsung sehingga 29 Disember ini.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");