Sukan Hari Ini

Harimau Malaya perlu menang di Bangkok

MALAYSIA berdepan laluan sukar dalam usahanya melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2012 apabila diikat Thailand 1-1 pada pertembungan separuh akhir pertama di Bukit Jalil, malam tadi.

Untuk perlawanan timbal balik di Bangkok, Khamis ini, Malaysia perlu mencari kemenangan untuk menghidupkan peluang mempertahankan trofi yang dimenangi dua tahun lalu.

Terdahulu, kesungguhan Malaysia memburu gol awal pada pertemuan menentang Thailand di Bukit Jalil malam tadi jelas ketara apabila turun dengan corak menyerang.

Anak buah Datuk K Rajagobal tidak menunggu lama mengucar-kacirkan pertahanan Gajah Perang menerusi beberapa gerakan berbahaya diterajui Safiq Rahim dan Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo).

Dalam tempoh 10 minit pertama, jentera serangan skuad kebangsaan memporak-porandakan pertahanan Thailand sehingga membuatkan pengendalinya, Winfried Schafer tidak keruan.

Usaha tanpa jemu Malaysia memburu gol awal hampir berhasil pada minit ke-19, Namun Azamuddin Akil (Alex) gagal menanduk kemas hantaran lintang Mahalli Jasuli meskipun penjaga gol lawan, Kawin Thamsatchanan sudah tertewas.

Kehadiran 85,000 penyokong Malaysia di Stadium Nasional juga berjaya memberi motivasi luar biasa kepada pemain untuk meneruskan corak permainan menyerang.

Thailand yang hadir selaku pasukan pilihan pula seakan mati akal dan kurang berjaya dalam usaha mereka memeceh kekebalan benteng pertahanan Malaysia.

Menuju ke masa rehat, Malaysia memperlahankan permainan dan kesempatan ini digunakan Thailand untuk bina kembali momentum pasukan dengan melancarkan beberapa percubaan jarak jauh.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus menggandakan asakan ke kubu Thailand dan hasilnya pada minit ke-48 Mat Yo berjaya memecah kebuntuan apabila menanduk kemas hantaran lintang Mahalli Jasuli untuk gol pertama Harimau Malaya.

Tersentak dengan jaringan pembukaan Malaysia, Thailand kembali memperkemaskan permainan namun kemaraan mereka mudah dipatahkan pertahanan negara.

Namun pada minit ke-79, kelekaan benteng negara dihukum apabila penyerang berbisa Gajah Perang, Teerasil Dangda menanduk masuk gol penyamaan Thailand.

Gol berkenaan umpama wakeup call buat Harimau untuk kembali bangkit.

Menuju minit akhir perlawanan, Malaysia hampir mencipta gol kemenangan namun tandukan point blank pemain gantian Safee Sali berjaya ditepis keluar.

Perlawanan ditamatkan dengan kedudukan seri 1-1.

Malaysia akan berkunjung ke Bangkok 13 Disember ini untuk aksi separuh akhir kedua.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");