Sukan Hari Ini

Hoki: Peluang skuad negara sukar

PELUANG skuad hoki negara untuk melangkah ke final dilihat agak sukar.

PELUANG skuad hoki kebangsaan melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia 2012 sedikit berliku setelah tewas mengejut 1-2 kepada China pada perlawanan keempat di Doha, Qatar kelmarin.

Dengan kekalahan tersebut, pasukan bimbingan ketua jurulatih, Paul Revington itu kekal berada di tangga ketiga dengan tujuh mata, sama mata dengan pasukan tangga kedua, Pakistan yang turut tewas kepada juara bertahan, India dengan jaringan sama.

Penolong ketua jurulatih, Arul Selvaraj berkata, pilihan yang ada untuk pasukan negara melangkah ke perlawanan akhir adalah mencatat kemenangan ke atas India dalam perlawanan terakhir dan pada masa sama, mengharapkan Jepun melakar keajaiban mengalahkan Pakistan.

“Jika kita menang ke atas India dan Pakistan juga menang, kita mungkin berpuas hati di tangga ketiga kerana Pakistan memiliki kelebihan jaringan dengan 17 gol manakala kita hanya 12 gol.

“Agak sukar untuk kita menang dengan jumlah jaringan yang besar ke atas India, namun dalam permainan ini tiada yang mustahil,” kata Arul kepada Kosmo! ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Arul enggan mengulas lanjut kekalahan mengejut kepada China, namun menurutnya, barisan pemain kebangsaan telah menunjukkan aksi membanggakan sepanjang kejohanan ini terutama aksi mengikat Pakistan dengan jaringan 3-3, Isnin lalu.

“Kita akan berusaha untuk mencapai keputusan terbaik pada kejohanan penutup tahun ini dan bagi saya kedudukan tempat ketiga juga sudah dianggap suatu pencapaian membanggakan buat pasukan yang baru dibentuk ini,” kata Arul lagi.

Dalam perlawanan dengan China kelmarin, pasukan negara harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik menjaringkan gol, namun pasukan China dilihat menyempurnakan segala peluang terhidang dengan menterjemahkan dengan jaringan.

Hasilnya, China memanfaatkan dua anugerah pukulan sudut penalti dalam tempoh lima minit apabila Huang Yue menjaringkan gol pada minit ke-31 dan Yong Li menambah tekanan buat pasukan negara dengan gol kedua minit ke-34.

Penyerang negara, Faisal Shaari menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-63 untuk gol tunggal pasukan Malaysia.

Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini, pasukan negara akan bertemu India, Pakistan menghadapi Jepun dan China bertembung dengan Oman manakala perlawanan klasifikasi penentuan ranking pertama hingga keenam akan berlangsung esok.

– KOSMO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");