Membawang Hari Ini

Jack Reacher uji ketangkasan Tom Cruise

AKTOR melibatkan diri dalam bidang seni seawal usianya 19 tahun ini cukup sinonim dalam industri perfileman Hollywood.

Sebut sahaja namanya, pasti ramai mengagumi dan memuji lakonan hero kesayangan ramai ini.

Boleh dikatakan bukan sahaja di kalangan orang dewasa, malah dia mempunyai pengikutnya sendiri sama ada di peringkat remaja mahu pun kanak-kanak.

Mengimbas sejenak pembabitannya dalam bidang ini, siapa sangka suatu ketika dahulu pelakon yang memulakan kariernya seawal 1981 ini hanya seorang pelakon sampingan yang kemunculannya tidak pernah disedari sesiapa pun.

Penampilan pelakon kelahiran New York ini ketika itu, ibarat pelengkap babak kecil menerusi filem pertamanya yang berjudul, Endless Love.

Dia bagaimana pun terus diberi ruang menggalas beberapa watak pembantu seperti dalam filem Taps, The Outsiders, All The Right Moves dan Risky Business.

Namun, tuah berpihak padanya apabila sekitar 1986, dia diberi kepercayaan memainkan peranan utama menerusi filem Top Gun.

Saat ini bermula era kegemilangan superstar diberi nama Thomas Cruise Mapother atau nama popularnya, Tom Cruise.

Ketika itu, Cruise bagaikan fenomena apabila pengarah Hollywood inginkannya membintangi filem mereka.

Menariknya, kebanyakan filem lakonan pelakon yang mempunyai ketinggian 5 kaki 7 inci ini mencapai box office seperti filem Rain Man, A Few Good Men, Jerry Maguire, Vanilla Sky, Minority Report, The Last Samurai, Collateral dan War of The Worlds.

Bagaimana pun, sehingga kini aktor termahal Hollywood ini terus dikenali menerusi peranannya sebagai ejen rahsia, Ethan Hunt dalam sekuel filem Mission Impossible.

Tidak jejas karier

Bintang filem Valkyrie ini mungkin bernasib baik dalam bidang seni, namun tidak bagi kisah peribadinya. Pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres terkenal Hollywood seperti Mimi Rogers, Nicole Kidman dan terbaru Katie Holmes, tidak menjanjikan kebahagiaan berterusan buat pelakon berusia 50 tahun ini.

Meski pun begitu, bapa kepada Suri,6, ini tidak pernah mencampuradukkan hal peribadinya dengan kerjaya, sebaliknya dia lebih senang bersikap profesional ke atas apa yang berlaku.

Disebabkan itu, setiap kali cerita cinta mahu pun rumah tangga menjadi tumpuan lensa kamera, dia kelihatan tenang berhadapan perkara itu.

Berikutan sikapnya ini, dia sentiasa diberikan tawaran untuk membintangi pelbagai filem.

Yang pasti, sepanjang 31 tahun bergelar insan seni, dia tidak pernah memberi masalah terhadap kerjayanya sebagai pelakon berkaliber.

Kemunculan Jack Reacher!

Telah membintangi lebih 40 filem, pelakon yang juga penerbit ini tidak pernah lekang dengan filem terbarunya setiap tahun.

Selepas membintangi sekuel filem Mission: Impossible – Ghost Protocol tahun lalu, kali ini pemenang anugerah Best Male Performance, MTV Movie Award menerusi filem Mission: Impossible 2 ini, bakal muncul dalam filem Jack Reacher yang ditayangkan di seluruh Asia bermula 20 Disember ini.

Filem diadaptasi daripada novel berjudul One Shot ini mengisahkan Jack Reacher (lakonan Cruise), bekas pegawai tentera yang ditugaskan untuk menyiasat kes pembunuhan yang berlaku di Pittsburgh, Pennsylvania. Ia melibatkan seorang pembunuh upahan Rusia iaitu The Zec.

Bercerita mengenai wataknya sebagai Reacher, Cruise menggambarkan, Reacher seorang manusia yang mempunyai tahap kecekapan tinggi dalam pelbagai bidang.

“Bukan mudah menjadi Reacher, penonton pasti mempunyai harapan tinggi terhadap saya apabila diberi tanggungjawab menggalas watak ini.

“Pengalaman membuatkan saya menjadi lelaki yang begitu mementingkan ketangkasan daripada segi mental dan fizikal,” katanya.

Filem ini turut dibintangi Rosamund Pike, Richard Jenkins, Werner Herzog, David Oyelowo dan Robert Duvall.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");