Sukan Hari Ini

Malaysia ke separuh akhir

Penyerang Malaysia, Muhammad Najmuddin Samat merembat kencang bola ke gawang Pilihan Incheon dari Korea Selatan dalam saingan Piala Antarabangsa Frenz 2012 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, semalam. Malaysia menang 2-0. – Utusan/Izham Jaafar

PETALING JAYA – Kejayaan mara ke separuh akhir Piala Antarabangsa Frenz 2012 membuatkan pengendali skuad kebangsaan Bawah 15 tahun, S. Balachandran berasa puas hati, malah yakin pasukannya mampu melangkah lebih jauh.

Selepas membelasah Slavia Praha 5-0 Jumaat lalu, skuad remaja ini sekali lagi menunjukkan belang semalam apabila menumpaskan pasukan Pilihan Incheon dari Korea Selatan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Menurut Balachandran, dia melihat anak buahnya bermain sangat baik untuk mara ke pusingan separuh akhir dengan mempamerkan corak menyerang pada separuh masa pertama sebelum bertahan di separuh masa kedua.

“Saya mempunyai 20 pemain dan sekarang ini saya akan melihat semula pasukan ini kerana ada yang mengalami kecederaan, mungkin pada perlawanan ketiga saya akan menurunkan separuh pemain utama dan separuh pemain simpanan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Skuad bawah 15 tahun kebangsaan itu mengungguli Kumpulan A dengan meraih enam mata keseluruhan dan berbaki satu lagi perlawanan iaitu bertemu tuan rumah, Frenz United Malaysia, esok.

“Dalam pasukan ini tidak ada pemain bintang, saya hanya pilih pemain ikut posisi masing-masing, saya hanya menjalankan tanggungjawab saya melatih pemain dan mengharapkan mereka mempertingkatkan prestasi dari masa ke semasa.

“Harapan saya adalah mereka ini suatu hari nanti akan menjadi pelapis kepada Harimau Muda C, B dan A, sekarang ini saya mengajar mereka tentang perkara asas dalam bola sepak,” kata bekas pemain kebangsaan dan Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, pengendali Pilihan Incheon, Kim Si Suk berkata, pemainnya agak lemah dari stamina berbanding pemain Malaysia dan keadaan cuaca yang berbeza dengan negara asal mereka turut mengganggu rentak permainan.

“Saya amat kecewa kerana kami tewas buat kali kedua berturut-turut tetapi kami akan cuba yang terbaik dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Slavia Praha Selasa ini (esok),” katanya.
– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");