Membawang Hari Ini

Masih lagi ‘bergelek’, Shikin tak lupa irama dangdut

WALAUPUN irama dangdut semakin dipandang sepi, namun kehadiran genre itu satu ketika dahulu meninggalkan kesan buat peminat dan masyarakat.

Mana mungkin irama itu dilupakan begitu sahaja sedangkan rata-rata masih mengingati barisan penyanyi yang memperjuangkan konsep itu.

Walaupun hanya picisan sahaja mereka yang terlibat seperti Mas Idayu, Amelina, Iwan, Sheeda, Haiza dan Shikin, namun mereka berjaya meletakkan nama sebagai penyanyi dangdut yang tiada ganti.

Menyedari irama dangdut dianggap sebagai second class, namun bagi Shikin, atau nama sebenarnya, Aishah Dahalan, 32, tidak wajar sekiranya muzik itu dilupakan begitu sahaja.

“Suatu ketika dahulu, dangdut menjadi permintaan ramai dan mampu menandingi irama lain. Namun, kini ia semakin dipandang sepi.

“Walaupun saya masih bernafas dalam industri, namun genre dangdut sudah tidak dipraktikkan seperti dahulu. Saya bukan hanya perjuangkan dangdut sahaja, malah membawa genre muzik lain seperti balada, rock dan lagu Inggeris.

“Saya sendiri tidak pasti kenapa dangdut dianggap muzik yang tidak boleh diiktiraf dalam industri tempatan. Sebagai penyanyi, ia tidak adil untuk kami,” katanya yang menyanyi di Lot 10, Roof Top.

Selain itu, Shikin juga sibuk dengan memenuhi undangan persembahan di majlis korporat dan tertutup.

Bercerita mengenai penglibatan awal sebagai penyanyi, Shikin mengakui minatnya untuk berjinak-jinak dalam bidang seni suara bermula ketika di bangku sekolah lagi.

Setelah tamat persekolahan, barulah Shikin diberi pelepasan untuk menyertai majlis dan pertandingan nyanyian.

“Ketika usia 17 tahun, saya menyertai Pertandingan Lagu Asli di peringkat Negeri Sembilan. Selain itu, saya selalu menyanyi untuk majlis-majlis Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana abah saya kakitangan JKR.

“Selepas itu, saya dikenalkan kepada komposer dan penyanyi, Elly Noor dan Mastura. Saya diberi peluang untuk menyertai penyanyi dangdut lain menerusi Kompilasi 5 Ratu Dangdut pada 1997.

“Pada 1998, saya muncul dengan album solo pertama berjudul Yang Yang dan seterusnya Asyik-Asyik Hanya Kamu (2000) dan album duet bersama Ani Mayuni, Shalala (2001).

“Album terakhir saya pada 2006, iaitu Dang Dang Dut bersama Iwan. Selepas itu, saya hanya memenuhi jemputan dan undangan nyanyian sahaja,” katanya.

Ditanya keinginan untuk kembali menghasilkan album atau single, Shikin hanya ketawa kecil.

“Bukan tak mahu keluarkan album, namun saya tak sanggup nak hadapi risiko sekiranya album itu tidak mendapat sambutan.

“Lagipun, rezeki saya masih ada walaupun tanpa album baru. Mungkin saya hanya akan akan tumpukan pada persembahan sahaja,” katanya.

Jadi ‘mimpi ngeri’

Sepanjang penglibatan Shikin dalam industri, penyanyi ini jarang dikaitkan dengan kisah kontroversi. Namun, apabila ditanya mengenai peristiwa yang sukar dilupakan, Shikin mengakui zaman kejatuhan irama dangdut merupakan mimpi ngeri buatnya dan rakan lain.

“Sejujurnya, saya kecewa dan terkilan apabila segelintir pihak menganggap irama dangdut tidak boleh dimainkan di negara kita.

“Ketika era 2003, penyanyi dangdut mengalami kesukaran untuk terus berada dalam industri apabila irama ini tidak dibenarkan untuk dimainkan di radio-radio tempatan.

“Secara tidak langsung, ia menjejaskan periuk nasi kami dan kami terpaksa mengagihkan tawaran sedikit seorang untuk membantu rakan lain. Memang perit ketika itu, namun saya bersyukur kerana masih ada ruang untuk saya dalam industri,” katanya yang turut memasang niat untuk berhijrah.

Cari pengganti?

Menjalani kehidupan sendiri tanpa ditemani kelibat suami sejak setahun lalu, jiwa Shikin tidak pernah sunyi sehingga memaksa dirinya berteman lagi.

Kata Shikin, keputusan untuk berpisah dengan bekas suami, Ahmad Zuki Mohd Zain, 36, adalah yang terbaik untuk mereka.

“Kami berpisah secara baik dan kini kami masih boleh berkawan. Lagipun, kami ada anak yang perlu diberi perhatian.

“Kami akan bergilir-gilir jaga anak. Jika saya bekerja malam, saya akan tinggalkan anak kepadanya dan bila dia bekerja, anak akan berada dengan saya.

“Istilah sunyi itu tidak pernah ada kerana saya dikelilingi keluarga dan kampung juga dekat. Saya tidak pernah terlintas untuk berkahwin lagi kerana perkara utama adalah memastikan anak perempuan saya tidak terabai,” katanya yang tidak menolak sekiranya ketentuan jodoh pada masa hadapan.

Shikin dan Ahmad Zuki berkahwin pada 27 September 2003 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Qistina Balqis, 7 tahun.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");