Jenayah

Mayat 3 warga Myanmar dipercayai dibunuh ditemui dalam hutan

Mayat tiga penoreh ditemui di kebun getah Kampung Chepa, di Kuala Nerang, semalam, dua hari selepas mereka dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki Jumaat lalu.

Mayat lelaki berumur 16, 18 dan 21 tahun itu ditemui kira-kira 50 meter antara satu sama lain.

Mereka dipercayai diserang oleh beberapa orang sewaktu berehat di sebuah pondok di kebun berkenaan dan cuba melarikan diri apabila terus dikejar dan ditetak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya mendapat panggilan orang ramai kira-kira jam 1 petang mengenai kejadian itu dan menghantar sepasukan polis ke tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat seorang saksi yang sempat melarikan diri apabila diserang kumpulan tersebut kira-kira jam 11 malam dan memaklumkan kepada beberapa rakannya yang berada di Kuala Lumpur ketika itu.

“Apabila pihak polis sampai ke tempat kejadian, kita menemui tiga lelaki telah mati di tempat kejadian dengan jarak yang tidak jauh antara satu sama lain.

“Kita harap lelaki yang terselamat daripada serangan itu dapat membantu polis menjalankan siasatan,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Zakaria berkata, kesemua mangsa dipercayai mati akibat ditetak di depan dan belakang leher dengan menggunakan sejenis senjata tajam.

“Siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti motif serangan dan mereka yang bertanggungjawab.

“Kita percaya kumpulan ini dari satu kawasan atau ada hubungan kekeluargaan,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penyerang itu turut melarikan kira-kira RM2,000 wang tunai dan dua unit telefon bimbit kepunyaan mangsa.

Sementara itu, menurut sumber, rakan mangsa yang menyelamatkan diri itu menghubungi kenalan mereka yang berada di Kuala Lumpur bagi mendapatkan bantuan.

“Selepas mereka tiba barulah mereka tahu tiga lelaki itu telah dibunuh. Mereka kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sinar Harian difahamkan, ketiga-tiga mangsa itu warga Myanmar mengambil upah menoreh getah di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu, tetapi tidak disenangi satu kumpulan lain, yang juga warga Myanmar.

Sebelum serangan itu, perselisihan faham antara dua kumpulan itu pernah mencetuskan pertelingkahan dan pergaduhan.

Menurut sumber, tangan ketiga-tiga mangsa diikat ke belakang dan mata serta mulut mereka ditutup dengan kain, sebelum leher mereka ditetak dengan senjata tajam.

Bagaimanapun, seorang daripada mangsa serangan yang sempat melarikan diri sebelum dicederakan meminta bantuan daripada orang ramai dan menghubungi rakan-rakan mereka lain yang bekerja di Kuala Lumpur.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, lelaki yang terselamat itu terkejut menemui titisan darah di kawasan rumah mereka sebelum menemui mayat tiga orang rakannya.

Lelaki itu cedera di badan akibat terkena duri ketika lari menyelamatkan diri.

Dia dibawa ke hospital oleh polis untuk rawatan.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");