Sukan Hari Ini

Misi buru emas di Laos bermula

BARISAN atlet negara yang menggalas cabaran pada AUG 2012 di Laos hari ini.

MISI kontinjen Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 bermula sebaik menjejakkan kaki di Vientiane, Laos kira-kira pukul 10.10 pagi waktu tempatan semalam.

Skuad bola sepak, terjun, sepak takraw dan ping pong merupakan yang pertama tiba bagi menghadapi temasya yang memasuki edisi ke-16 itu tahun ini.

Pegawai perhubungan kontinjen Malaysia, Nur Ekmal Buhary berkata, semangat berpasukan yang ditunjukkan atlet-atlet negara pada AUG kali ini cukup berbeza dan sudah bersedia untuk merealisasikan matlamat meraih 36 pingat emas seperti mana yang diletakkan sebagai sasaran.

“Seperti yang kita dapat lihat, sebahagian daripada kontinjen negara sudah tiba di Laos hari ini (semalam). Kita merupakan kontinjen terbesar yang tiba awal untuk AUG kali ini.

“Saya dimaklumkan oleh pengurus dan jurulatih pasukan, atlet-atlet negara memang sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi temasya kali ini. Lagipun, semangat berpasukan yang ditunjukkan mereka sangat berbeza berbanding edisi-edisi sebelum ini.

“Ini mungkin disebabkan kita menyertai hampir kesemua 17 acara yang dipertandingkan. Jadi, saya harap kontinjen negara mampu melakar kejayaan yang cemerlang di sini (Laos),” kata Ekmal ketika ditemui pemberita di perkampungan atlet di Universiti Kebangsaan Laos semalam.

Diminta mengulas mengenai persiapan Laos selaku tuan rumah bagi, Ekmal berkata: “Kontinjen Malaysia memang berpuas hati dengan persiapan dan layanan yang diberikan.

“Mereka (Laos) nampaknya memang serius dalam melakukan persiapan bagi menjadi tuan rumah AUG kali ini.”

Acara pertama yang membabitkan kontinjen negara adalah bola sepak.

Skuad bola sepak negara akan memulakan kempen kali ini menentang tuan rumah, Laos untuk aksi Kumpulan B esok. Selain Laos, Malaysia turut diundi bersama Singapura.

Pada temasya kali ini, kontinjen negara meletakkan sasaran untuk membawa pulang 36 pingat emas, 24 perak dan 32 gangsa dari bumi Laos.

Upacara pembukaan AUG 2012 akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara, Vientiane, Laos, Rabu ini.

Atlet terjun wanita negara, Leong Mun Yee telah dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia pada AUG kali ini.

Kontinjen Malaysia dibarisi 306 atlet selain 133 pegawai pada temasya dwitahunan itu.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam kesemua 17 acara sukan yang dipertandingkan.

Sebagai rekod, pada edisi ke-15 di Chiangmai, Thailand dua tahun lalu, kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 24 pingat emas apabila meraih 37 emas, 36 perak dan 44 gangsa.

Ia merupakan pencapaian terbaik kontinjen Malaysia sejak temasya itu berlangsung di luar negara.

– KOSMO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");