Membawang Hari Ini

Nadiya Nissa masih seperti dulu

Mungkin nama pelakon, Nadiya Nissa hanyalah satu picisan pada suatu masa dahulu, walaupun bintang ini telah memulakan kariernya sejak 2003.

Diberi watak Manis, menerusi filem Cun, Nadiya berjaya meyakinkan keupayaannya lantas diiktiraf sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem pada Anugerah Skrin tahun lalu.

Sejak itulah ramai mata yang memerhatikan kelibat ibu anak satu ini sehingga dipilih untuk membawa watak utama drama adaptasi, Adam & Hawa yang memiliki jutaan tontonan.

Walaupun namanya mula disegani ramai, namun jauh di sudut hati, Nadiya menganggap populariti tidak akan mengubah kehidupannya yang sederhana.

“Saya masih Nadiya yang dulu, mementingkan masa bersama keluarga dan sentiasa memastikan kelengkapan anak dan suami.

“Walaupun semakin sibuk dengan jadual yang padat, namun saya tidak betah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai ibu serta isteri, dan menyerahkannya kepada pembantu rumah.

“Bagi saya, pembantu rumah hanya menguruskan rumah dan menjaga anak ketika saya bekerja. Bila saya pulang, anak berada bersama saya. Saya lebih selesa begitu,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama 26 episod, Cinta Jangan Pergi, terbitan Filmscape.

Selain itu, Nadiya bakal muncul dengan telemovie, XOXO dan filem terbitan Filmscape yang bakal menjalani penggambaran pada awal tahun depan.

Rezeki anak

Mengakui kemenangannya di Anugerah Skrin tahun lalu merupakan hadiah tidak ternilai buatnya, Nadiya bersyukur lantas menganggap pengiktirafan itu membuka laluan seninya dengan lebih luas.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi penghargaan itu dan saya lebih selesa menganggap ia sebagai rezeki anak, Omar, yang ketika itu baru sahaja dilahirkan.

“Namun, trofi itu bukan sekadar untuk disimpan dan dijulang, namun saya harus buktikan kepada masyarakat yang saya mampu berikan yang terbaik.

“Saya ingin buktikan bahawa saya mampu membawa apa jua watak yang diberikan untuk kepuasan penonton,” katanya.

Saat ditanya mengenai cahaya mata kedua, Nadiya mengakui belum bersedia untuk ke arah itu.

“Buat masa ini, saya ingin fokus dalam karier seni terlebih dahulu. Lagipun, Omar baru sahaja mencecah usia setahun.

“Saya ingin berikan dia ruang untuk membesar terlebih dahulu, begitu juga dengan kerjaya. Namun, tidak menolak sekiranya diberi rezeki itu lebih awal,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");