Berita Hari Ini

Najib mahu rakyat terus beri mandat

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat memberikan mandat pemerintahan lima tahun lagi kepada Barisan Nasional (BN) demi masa depan negara.

Perdana Menteri berkata, ini adalah kerana kerajaan BN mempunyai pelbagai pengalaman mentadbir negara sejak 55 tahun lalu berbanding pakatan pembangkang yang dilihat tidak mempunyai asas persefahaman menguruskan hala tuju negara dengan baik.

Beliau berkata, kerajaan BN ikhlas untuk membantu semua rakyat dan percaya dalam tempoh hampir empat tahun ini, kejayaan terbukti apabila Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus, peningkatan dalam pelaburan serta peluang pekerjaan melebihi 300,000.

 Makna satu undi

“Masa depan tidak boleh diperjudikan. Satu undi untuk pembangkang adalah satu undi untuk masa depan yang tidak menentu.

“Tetapi, satu undi buat BN adalah untuk masa depan yang lebih baik, selamat dan makmur,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Turut hadir Presiden PPP, Datuk M Kayveas, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perlu sifar masalah

Najib berkata, semua 13 komponen BN perlu sifar masalah, sama ada dalaman atau sesama mereka untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perdana Menteri berkata, sekiranya tiada masalah besar dalam parti atau tiada pergolakan sesama parti komponen, BN tiada halangan untuk menang besar dalam pilihan raya.

“Jika dulu kita letak songkok pun atau rakyat nampak saja simbol dacing (BN) mereka pasti memangkahnya dan kita boleh menang, namun kini semuanya sudah berubah kerana rakyat mahukan perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan,” katanya.

Seramai 4,047 perwakilan dan pemerhati menghadiri perhimpunan sehari itu.

Mimpi ngeri PRU 2008 

Najib berkata, BN tidak lagi mahu mengalami mimpi ngeri Pilihan Raya Umum 2008 dan sudah bermuhasabah serta beriltizam bangkit daripada peristiwa yang cukup kelam itu.

Katanya, prestasi lemah dalam pilihan raya itu bukan kerana pembangkang kuat, sebaliknya rakyat memberi mesej kepada BN supaya berubah sebagai parti yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian negara.

Sehubungan itu, katanya, sebagai pemimpin dan Pengerusi BN beliau turun padang untuk mendengar dan merasai sendiri denyut nadi rakyat yang berubah mengikut perkembangan semasa.

– BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");