Isu Panas

Najib: Saya lebih suka turun padang jumpa rakyat

Meskipun media sosial menyediakan pelbagai kemudahan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata interaksi
bersemuka membolehkan beliau mendekati rakyat Malaysia dan menterjemahkannya kepada inisiatif yang mampu menyelesaikan masalah mereka.

Beliau berkata, komunikasi dalam talian tidak mampu mengganti pengukuhan hubungan interpersonal menerusi perlakuan berjabat tangan manakala laporan yang diterima juga tidak boleh mengatasi pengalaman melihat sendiri situasi dan kehidupan harian rakyat.

“Meskipun media sosial mempengaruhi kehidupan kita pada hari ini, namun saya masih beranggapan perlunya untuk saya turun padang dan bertemu dengan rakyat secara peribadi. Dengan kenyataan itu, mungkin anda akan menganggap saya sebagai seorang yang sangat tradisional, tetapi pada saya, dalam beberapa perkara lebih baik jika ia dilakukan secara bersua muka,” katanya menerusi laman blog 1Malaysia.

Berkongsi pandangan bagi topik ‘Menggabungkan Teknologi Dan Komitmen Untuk Mencapai Prestasi Cemerlang’, Najib berkata: “Saya lebih gemar mendengar sendiri daripada ahli perniagaan sehinggalah kepada suri rumah berhubung masalah kesihatan mahupun berkaitan kos sara hidup yang semakin meningkat.”

Beliau berkata, semua masalah yang diceritakan itu akan disampaikan kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk diambil tindakan sewajarnya dalam usaha mengubah dan menyediakan inisiatif bagi kehidupan yang lebih baik.

Najib berkata, ini sekali gus menunjukkan bahawa mendengar denyut nadi rakyat sangat membantu kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Sebagai contoh, selepas mendengar keluhan mak cik-mak cik mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat, dan bagi memastikan semua rakyat berkemampuan mendapat rawatan perubatan, Klinik 1Malaysia pula diperkenalkan,” katanya.

Bagaimanapun, Najib mengakui dengan pelbagai medium media sosial hari ini, beliau mampu melakukan banyak perkara, daripada mendapatkan maklum balas berhubung belanjawan negara pada tahun depan hinggalah kepada menerangkan kepada rakyat Malaysia berkaitan dasar baru yang diperkenal kerajaan, selain dapat menghantar perkembangan terkini di mana-mana sahaja.

“Teknologi telah membawa kita ke satu tahap yang lebih tinggi, dan ia sekali gus membolehkan kita untuk terus membangunkan negara. Tetapi ia memerlukan komitmen dan semangat dedikasi untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang,” katanya.

Najib juga berkata, kerajaan Barisan Nasional selama ini bekerja keras untuk menepati setiap janji yang telah memberi manfaat kepada setiap rakyat, dan rekod cemerlang itu akan diteruskan agar satu keputusan yang mampu memberi manfaat terbaik untuk rakyat dapat dihasilkan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");