Perak Hari Ini

Nizar Salah Guna Kuasa Lulus Konsesi Balak Tanpa Ikut Prosedur: DS Zambry

Selepas skandal pemilikan tanah membabitkan dua pemimpin DAP Perak terbongkar, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, hari ini mendedahkan pula salah guna kuasa yang dilakukan Ketua Pembangkang berhubung kelulusan konsesi pembalakan dalam tempoh 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

Pada sesi penggulungan Bajet 2013, Zambry berkata, mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Menteri Besar dengan meluluskan konsesi balak tanpa merujuk kepada mesyuarat jawatankuasa perhutanan negeri, sebaliknya terus memberi arahan permohonan diluluskan.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media sejurus sidang ditangguhkan, Zambry menegaskan, PR sering menganggap Barisan Nasional (BN) sebuah parti yang korup dan mengamalkan kronisme.

“Tetapi beliau terlupa mereka sebenarnya lebih korup daripada BN. Bayangkan hutan simpan yang sepatutnya di rujuk ke mesyuarat jawatankuasa tidak dilaksanakan malah tidak sempat didaftar kepada Jabatan Perhutanan.

“Sebaliknya permohonan itu terus diluluskan dan lihat betapa berkuasanya Nizar ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, jika mengikut prosedur yang ditetapkan, sebarang permohohan perlu dihantar kepada Jabatan Perhutanan sebelum diproses dan kemudiannya diusulkan dalam mesyuarat jawatankuasa perhutanan negeri.

Pada hari kedua sidang DUN Perak, Nizar telah menuduh kerajaan BN mengamalkan korup dengan meluluskan konsesi balak seluas 606 hektar kepada tiga syarikat yang dimiliki orang yang sama.

Lokasi tanah itu terletak di Mukim Belukar Semang, Daerah Pengkalan Hulu dan kelulusan dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri pada 30 November 2012.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerajaan negeri meluluskan permohonan syarikat itu mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan, tidak seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan PR.

Beliau juga katanya, tiada halangan sekiranya Nizar ingin membuat laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan konsesi yang diberikan kepada syarikat berkenaan.

Ditanya pemberita sama ada beliau akan membuat laporan kepada SPRM mengenai salah guna kuasa yang dilakukan Nizar, Zambry berkata:

“Belum lagi…tetapi saya telah dapat membaca fikirannya untuk menjerat BN seolah-olah kita ini jahat dan ada kroni-kroninya.

“Saya akan lihat taktik dan permainan Nizar…saya akan dedahkan nanti tetapi biarlah kita berhenti dulu setakat ini,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");