Program Basmi Kemiskinan

Penduduk Bimbang Serangan Lalat Semakin Menjadi-jadi


Menjijikkan, demikian gambaran situasi yang dihadapi hampir 300 penduduk sekitar Ladang Risda Kampung Changkat Sulaiman, dekat Sungkai yang dihantui masalah serangan lalat yang semakin menjadi-jadi sejak dua minggu lalu.

Masalah itu dipercayai berpunca daripada penternakan ayam secara terbuka yang aktif beroperasi kira-kira dua tahun lalu, sekaligus menjadi tempat pembiakan lalat yang sekiranya dibiarkan boleh menjejaskan kesihatan awam akibat penularan wabak penyakit.

Penduduk turut melahirkan rasa kecewa kerana ladang ternakan ayam itu beroperasi berdekatan dengan kawasan penempatan hingga menjejaskan kehidupan mereka yang terpaksa berhadapan dengan serangan lalat sejak dua tahun lalu.

Tinjauan Peraktoday.com di tempat kejadian mendapati ladang ternakan ayam yang didakwa beroperasi di tanah milik persendirian itu sudah dikosongkan sejurus ternakan dipasarkan.

Kelihatan juga beberapa reban baru telah dibina di bahagian belakang reban sedia ada dan jarak antara ladang ternakan dengan rumah penduduk hanyalah sekitar 2 kilometer sahaja.

Seorang penduduk, Suriaty Ramli, berkata ladang ternakan ayam itu beroperasi kira-kira empat tahun lalu dan sebelum ini, beliau difahamkan projek itu sepatutnya dilaksanakan secara tertutup.

Malangnya, projek itu dilaksanan secara terbuka hingga mengundang masalah lalat yang serius setiap kali reban ayam dikosongkan, katanya lagi.

“Serangan lalat ini semakin menjadi-jadi dan penduduk di sini terpaksa hidup dalam sengsara siang dan malam kerana serangga ini akan terbang masuk ke dalam rumah dan menghurung peralatan rumah atau makanan yang terhidang,” katanya kepada Peraktoday.com.

Ibu kepada empat cahayamata itu berkata, walaupun beberapa aduan telah dibuat kepada pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah sebelum ini, tiada respon positif diterima daripada mereka, sekaligus mengundang rasa kecewa di kalangan penduduk.

“Sebelum wujudnya ladang ternakan ayam ini, kehidupan kami di sini aman daripada gangguan lalat tetapi segalanya berubah sejak dua tahun lalu.

“Urusan seharian juga terganggu dan apa yang kami bimbangkan, ladang ternakan itu kini semakin berkembang apabila reban baru dibina sedangkan masalah serangan lalat terus menghantui penduduk sekitar Kampung Changkat Sulaiman,” tegas Suriaty lagi.

Antara kampung lain yang terjejas dengan serangan lalat itu termasuklah Kampung Tiang Bertarah, Rimba Melati dan Kampung Sabar Jaya, tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");