Program Basmi Kemiskinan

Penduduk Lega MBI Tampal Jalan Berlubang

Penduduk Taman Sri Rokam, dekat Ipoh kini boleh menarik nafas lega apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertindak segera menampal jalan berlubang berdekatan Lorong Indah Rokam 4, baru-baru ini.

Kini, pengguna dapat menggunakan jalan itu dengan selamat dan mereka tidak lagi terdedah kepada risiko kemalangan apabila lubang berkenaan ditampal dengan tar yang baru, demikian menurut salah seorang penduduk taman berkenaan, Azizah Idris kepada Peraktoday.com.

“Selaku wakil penduduk di sini, tindakan pantas MBI menampal jalan berlubang berdekatan Lorong Indah Rokam 4 baru-baru ini amat kami hargai.

“Sebelum ini, pengguna terutamanya penunggang motosikal terdedah kepada risiko ditimpa kemalangan apabila menggunakan laluan ini kerana jalan yang berlubang dan digenangi air apabila hujan.

“Keadaan menjadi lebih merbahaya di waktu malam dan masalah ini sudah berlarutan sejak tiga bulan lalu sebelum ia mendapat perhatian daripada pihak MBI,” kata Azizah lagi.

Pada 3 Oktober lalu, Peraktoday.com melaporkan penduduk Taman Sri Rokam dekat Ipoh menggesa pihak bertanggungjawab menampal segera jalan berlubang berdekatan Lorong Indah Rokam 4, demi menjamin keselamatan pengguna lalu-lintas yang menggunakan laluan itu pada setiap hari.

Masalah itu telah berlarutan sejak tiga bulan lalu dan lubang jalan dilihat semakin dalam dan membesar dari hari ke hari, sekaligus boleh membahayakan keselamatan pengguna di waktu malam terutamanya penunggang motosikal.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Sarimah, 36, berkata laluan itu agak sibuk terutamanya di waktu puncak apabila ibu bapa menghantar dan mengambil anak masing-masing pulang dari beberapa buah sekolah di sekitar Gunung Rapat dan Ipoh Jaya.

Apabila hujan lebat, air bertakung dalam lubang jalan dan jika masalah ini tidak ditangani segera, kemalangan mungkin tidak dapat dielakkan lagi, katanya lagi.

“Jalan berlubang adalah salah satu faktor yang menyebabkan kemalangan jalan raya kerana pemandu ingin mengelak jalan itu tetapi bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Tambah membahayakan jika kemalangan itu berlaku di kawasan selekoh dan waktu hujan lebat di mana jarak penglihatan pemandu adalah agak terhad,” katanya.

Beliau yang menetap di kawasan berkenaan sejak 10 tahun lalu turut berharap agar pihak bertanggungjawab seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membaiki segera jalan yang berlubang itu demi keselamatan pengguna.

“Bukan setakat di laluan ini sahaja, saya juga berharap semua masalah jalan berlubang di sekitar bandar raya Ipoh beri perhatian serius oleh kedua-dua pihak bertanggungjawab ini kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");