Perak Hari Ini, Program Basmi Kemiskinan

Peniaga Lega Pasar Awam Gunung Rapat Dinaiktaraf

Pasar Awam Gunung Rapat, dekat Ipoh bakal berwajah baru apabila kerja menaiktaraf pasar yang berusia lebih 60 tahun itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2013.

Sebelum ini, peniaga pasar itu yang majoritinya Cina membantah projek membina semula pasar itu yang menelan kos RM6.5 juta yang diluluskan oleh kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Namun, di atas keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN), 14 gerai di pasar itu akan dinaiktaraf membabitkan kos kira-kira RM700,000, sekaligus bakal memberi wajah baru kepada pasar berkenaan yang sering menjadi tumpuan pengunjung dari sekitar Gunung Rapat, Kampung Sungai Rokam, Taman Ipoh Jaya, Pekan Razaki dan Ampang.

Seorang peniaga, Suhaimi Derais, berkata kerja menaiktaraf gerai di pasar itu akan dimulakan selepas perayaan Tahun Baru Cina dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2013.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pasar yang berusia lebih 60 tahun itu berwajah baru seiring dengan pembangunan pesat yang berlaku di kawasan sekitarnya.

“Tahun lalu, kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukan RM6.5 juta untuk membina semula pasar Gunung Rapat tetapi sayangnya cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh peniaga di sini yang majoritinya kaum Cina.

“Namun, selepas campurtangan MCA dan di atas keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN), sejumlah RM700,000 diluluskan untuk kerja menaiktaraf pasar Gunung Rapat yang sudah usang ini,” katanya kepada Peraktoday.com.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, selain 14 gerai yang sedia ada, infrastruktur lain seperti pendawaian elektrik dan lantai pasar juga akan dinaiktaraf dalam tempoh berkenaan.

“Bangunan pasar juga akan dicat semula dan kita harap apabila kerja menaiktaraf ini siap sepenuhnya kelak, lebih ramai pengguna akan berkunjung ke sini untuk membeli barangan keperluan harian mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pengguna yang ditemui, Wahab Bakar dari Desa Perwira dekat Ampang, menjelaskan BN sentiasa mengotakan janjinya kepada rakyat tanpa mengira samada kawasan itu dikuasai kerajaan BN atau pembangkang.

“BN sentiasa menepati janjinya dan tidak memilih bulu dalam soal pembangunan kepada rakyat.

“Rakyat khususnya peniaga pasar ini tidak perlu risau atau bimbang dengan infrastruktur yang akan dibina kelak.

“Apabila pasar ini berwajah baru, saya pasti lebih ramai pengguna akan berkunjung ke sini kerana persekitarannya yang lebih mesra pelanggan berbanding ketika ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, MCA telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menaik taraf Pasar Awam Gunung Rapat yang usang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata pasar itu perlu dinaik taraf bagi memastikan orang ramai dapat menjalankan urusan jual beli dengan lebih selesa.

“Tahun lalu memang ada peruntukan untuk membina semula pasar awam ini. Bagaimanapun ia mendapat bantahan di kalangan peniaga. Lanjutan daripada itu, MCA merayu bagi pihak peniaga kepada Menteri Besar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan hasilnya cadangan untuk membina semula pasar itu ditangguh,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar berkenaan pada Julai lalu.

Chua juga berkata, kemudahan pendawaian elektrik dan bumbung pasar juga perlu diberi penambahbaikan beserta infrastukrtur yang lain bagi menjamin keselesaan pengunjung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");