Sukan Hari Ini

Raihan tekad buat penampilan semula

RAIHAN bertekad untuk membuat penampilan semula pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember tahun depan.

BEKAS atlet angkat berat wanita kebangsaan, Raihan Yusoff bertekad untuk membuat penampilan semula pada Sukan SEA 2013 di Myanmar selepas tempoh penggantungan terhadapnya tamat November tahun depan.

Raihan menaruh harapan yang tinggi untuk mewakili negara pada temasya dwitahunan itu setelah sekian lama tidak menyertai pertandingan.

“Saya meletakkan sasaran untuk menyertai Sukan SEA buat kali ketiga di Myanmar selepas tempoh penggantungan saya tamat.

“Namun, saya menyerahkan kepada Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berhubung nasib saya ini,” katanya semalam.

Pemenang pingat gangsa acara 53 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India itu dikenakan penggantungan dua tahun dan didenda AS$5,000 (RM15,100) oleh Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) setelah gagal dalam ujian antidoping ketika menyertai Kejohanan Dunia Kelayakan Olimpik di Paris pada November 2011.

Raihan yang kini bertugas di Kem Tentera Darat Batu 5, Mentakab, Pahang berkata, sepanjang tempoh penggantungan tersebut, dia tidak menjalani latihan intensif kerana kesibukan tugas sebagai anggota tentera.

“Memang ada kelengkapan bersenam di gimnasium di sini (Mentakab) namun tiada peralatan angkat berat disediakan. Kesibukan bekerja juga membataskan saya untuk menjalani latihan intensif,” katanya.

Ditanya mengenai kemelut yang melanda PABM ketika ini, Raihan berharap isu tersebut dapat diselesaikan segera bagi memastikan persediaan atlet untuk menghadapi kejohanan utama pada tahun depan tidak terjejas.

Untuk rekod, anak jati kelahiran Kelantan berusia 24 tahun itu meraih tempat keempat (Sukan SEA 2007) di Korat, Thailand dalam kategori 58kg sebelum merangkul pingat perak acara 53kg pada Sukan SEA 2009 di Laos.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");