Sukan Hari Ini

Renang penyumbang terbesar

(dari kiri) Daniel Bego, James Chen, Clement David Leong serta Kevin Yeap memenangi pingat emas dalam acara 400 meter berganti-ganti gaya bebas lelaki di di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional, Vientiane, semalam. – BERNAMA

VIENTIANE – Malaysia masih mempertahankan kedudukan di tangga pertama setelah kontinjen negara menokok 10 emas lagi bagi menjadikan pungutan keseluruhan 49 emas pada Sukan Universiti ASEAN 2012 di sini, semalam.

Mengekori rapat kontinjen Malaysia ialah Vietnam yang berjaya merangkul 44 emas dan hanya dipisahkan dengan lima pingat emas untuk menghuni tangga kedua.

Penyumbang terbesar pingat emas negara, masih lagi dipegang oleh skuad renang apabila mereka sekali lagi menggegar Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Nasional, semalam dengan enam emas, tiga perak dan satu gangsa.

Malah, kontinjen Malaysia turut menerima khabar gembira di kolam renang apabila perenang kebangsaan, Siow Yi Ting merangkul emas ke-45 iaitu sasaran kedua yang dipertaruhkan selepas mencapai 36 emas, kelmarin.

Kejayaan tersebut dilakar menerusi acara 200 meter kuak dada dan atlet berusia 27 tahun itu turut mencatat rekod temasya dengan catatan masa dua minit 34.88 saat, menewaskan peserta Indonesia, Margareta Kretapradani di tempat kedua, sementara gangsa menjadi milik Chontida Onnim dari Thailand.

Yi Ting sekali lagi meneruskan rentak cemerlang dan kali ini dia bergandingan dengan tiga lagi rakan senegara, Khoo Cai Lin, Leung Chii Lin dan Chui Lai Kwan untuk memenangi emas dalam acara gaya bebas 400 meter berganti-ganti.

Gandingan Malaysia itu menyingkirkan saingan dari Filipina yang meraih perak dan Thailand dengan pingat gangsa dengan catatan renangan 4:00.49s.

Pasukan 400 meter gaya bebas lelaki negara yang dibarisi perenang James Chen, Kevin Yeap, Clement David Leong dan Daniel Bego turut meraih emas dengan catatan 3:30.93s meninggalkan Thailand dan Singapura untuk perak serta gangsa.

Emas keempat dilakar menerusi Khoo Cai Lin yang mempamerkan renangan konsisten untuk merangkul emas dalam acara 400 meter gaya bebas dengan catatan masa 4:22.84s yang juga merupakan rekod baru temasya. Perenang Indonesia, Ressa Kania Dewi dan Chawiwan Khammee masing-masing meraih pingat perak serta gangsa untuk acara tersebut.

Kevin Yeap memenangi emas kelima dengan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mencipta masa terpantas 4:03.94s untuk menewaskan perenang Thailand, Siwat Matangkapong di kedudukan kedua dan tempat ketiga menjadi milik, Putera Muhammad Randa dari Indonesia.

Penguasaan emas diteruskan di kolam renang dan kali ini tiba giliran Chan Kah Yan menggondol emas keenam setelah dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Chui Lai Kwan dengan catatan rekod temasya 1:06.22s. Perenang Filipina, Ma. Claire Adorna hanya berpuas hati dengan tempat ketiga.

Selain Lai Kwan, dua lagi pemenang pingat perak ialah Yap See Tuan (200 meter kuak dada) dan Hii Siew Siew (50 meter kuak kupu-kupu) sementara, Leung Chii Lin meraih gangsa untuk acara 50 meter kuak kupu-kupu.

Sementara itu, dalam wushu, pasukan negara menyumbang satu emas menerusi Tan Jia Guan yang menyertai acara Sanshou lelaki 70 kilogram (kg) dan empat gangsa disumbangkan oleh Foong Hew Mun (wanita 48kg), Tan Sze Cia (lelaki 56 kg), Ooi Lih Yang (lelaki 65kg) dan Ong Ghee Leong (lelaki 65 kg).

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");